Tok Mat Tiba Pusat Penamaan, Diiringi Penyokong Dan Pendukung Parti

REMBAU, 29 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini diiringi penyokong dan pendukung parti ke pusat penamaan calon di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan.

Beliau turut diiringi paluan kompang yang menghangatkan lagi suasana di luar pusat penamaan ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu juga tampil segak mengenakan baju Melayu berwarna biru.

Terdahulu, beliau dan para penyokong telah berkumpul di Pusat Operasi BN di Kampung Tanjung dan bergerak ke pusat penamaan pada jam 8.15 pagi.

Mohamad yang merupakan penyandang kerusi berkenaan mempunyai rekod prestasi cemerlang semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama empat penggal sejak 2004.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu beliau buat pertama kalinya bertanding kerusi Parlimen Rembau selepas 25 tahun menyertai arena politik tanah air.

Mohamad kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pertahanan selepas BN bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan bersama gabungan Pakatan Harapan.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN itu adalah kali pertama menyaksikan enam negeri berkenaan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ahli DUN masing-masing secara berasingan daripada pilihan raya untuk kerusi Parlimen. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.