Tok Mat Sah Tanding Pertahan DUN Rantau, Berdepan Dua Penjuru

REMBAU, 29 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sah sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mohamad menghadapi saingan dua penjuru daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengetengahkan Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan.

Kedua mereka tiba bersama-sama penyokong dan pencadang masing-masing antara 9 pagi tadi.

Senarai calon bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN Rantau, Nor Azam Nayan di pusat penamaan calon di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan.

Mohamad yang merupakan penyandang kerusi berkenaan mempunyai rekod prestasi cemerlang semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama empat penggal sejak 2004.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu beliau buat pertama kalinya bertanding kerusi Parlimen Rembau selepas 25 tahun menyertai arena politik tanah air.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan 12 Ogos.

Manakala bagi hari pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN ini adalah kali pertama menyaksikan enam negeri berkenaan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ahli DUN masing-masing secara berasingan daripada pilihan raya untuk kerusi Parlimen. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.