PRN: Kerjasama BN-PH Bawa Tekad Selarikan Pentadbiran, Agar Tidak Terpinggir Dalam Pembangunan Ekonomi

KOTA BHARU, 29 Julai – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah bersertakan tekad untuk membawa pembangunan ke enam-enam negeri ini agar tidak terpinggir dari segi pembangunan ekonomi terutamanya dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN-PH telah meletakkan 45 orang calon di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berlandaskan kepada perubahan dinamika politik terkini.

“BN dan PH atas nama Kerajaan Perpaduan Madani telah meletakkan 45 orang calon di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Kombinasi ini adalah merupakan satu usaha pertama kali antara BN-PH untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Dulu BN pernah bekerja secara solo tetapi landskap politik telah berubah maka kombinasi di antara calon-calon BN dan PH, malah jentera peringkat negeri, parlimen apatah lagi di peringkat DUN telah diselaraskan.

“Ini merangkumi jentera yang diselaraskan di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) dan juga di lokaliti atau cawangan. Saya telah memberitahu bahawa ini selaras dengan hasrat kita bahawa keenam-enam negeri ini mesti menubuhkan kerajaan yang selari dengan kerajaan persekutuan,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti-Parti Komponen Kerajaan Perpaduan Kawasan DUN Parlimen Kota Bharu.

Jelasnya, kerajaan pusat perlulah menyantuni seluruh keperluan rakyat termasuklah menoktahkan kemiskinan tegar.

“Ini adalah bagi mempertingkatkan darjat dan martabat serta membawa pembangunan untuk rakyat di keenam-enam negeri ini. Kita tidak mahu mana-mana negeri terpinggir dari segi pembangunan terutamanya di dalam mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan.

“Kita mesti menyantuni seluruh keperluan rakyat termasuklah meletakkan noktah kepada kemiskinan tegar. Justeru, apa yang kita lakukan khususnya untuk Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan dibantu oleh Tan Sri Fatmi Che Saleh.

“Terdapat kolaborasi yang kuat daripada rakan-rakan parti komponen BN dan PH. Ujian ini harus kita hadapi bersama. Peluang ini adalah yang terbaik bagi kita untuk memberitahu rakyat Kelantan ubah kerajaan sebelum kerajaan yang ada di negeri ini meneruskan legasi yang memberikan kesusahan kepada rakyat,” katanya lagi.

Ahmad Zahid turut menyeru kepada rakyat Kelantan agar memberikan peluang kepada gabungan BN-PH bagi mentadbir negeri itu disamping berjanji untuk melaksanakan pentadbiran sehabis baik.

“Kita tidak mahu lagi retorik politik dilaungkan dan kita tahu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu soal muslihat politik digunakan sepenuhnya termasuklah memberikan ‘sedekah’ kepada para pengundi. Rakyat harus tahu.

“Cukuplah sampai disini. Cuba sekali untuk memberikan kepercayaan dan undi kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan. Cuba dan lihat bagaimana perubahan kita bawa di Negeri Kelantan ini.

“Kalau mereka memberikan prestasi yang baik, sambung perkhidmatan mereka. Jika tidak baik mandat dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu kelak.

“Tetapi kami berjanji jika peluang ini diberikan satu penggal sahaja untuk BN-PH atas semangat dan roh Kerajaan Madani ini, insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik dan lebih baik daripada apa yang dilakukan selama ini,” katanya lagi.

Turut hadir ke program tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, para kepimpinan UMNO/BN dan PH di peringkat Bahagian Kota Bharu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.