Manfaat Minggu Kempen, Gerak Kerja Terbaik Bertemu Pengundi – Mohamad

REMBAU, 29 Julai – Berhadapan minggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, Timbalan Presiden UMNO yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan akan melaksana gerak kerja terbaik untuk bertemu pengundi.

Mengakui tempoh berkempen dua minggu ini singkat, beliau berharap jentera parti serta penceramah BN melaksakan tugas sebaiknya dalam menyantuni pengundi sambil dan memberikan penerangan berkenaan aspirasi didukung parti.

“Tak boleh memandang remeh akan saingan daripada pihak lawan itu sebab saya kata perlu bekerja kuat tapi tak mungkin dapat pergi ke semua tempat untuk berjumpa atau menyantuni dengan setiap pengundi.

“… kerana saya juga perlu pergi ke tempat lain membantu rakan-rakan yang juga bertanding sebagai calon meskipun sebelum ini saya sentiasa santuni pengundi tapi kadang-kadang dalam kempen pilihan raya ini ada pengundi yang ‘hypersensitive’.

“Jadi saya menyeru kepada jentera-jentera BN dan penyokong melakukan gerak kerja untuk berkempen di setiap bilik gerakan bagi menyantuni seramai mungkin pengundi di kawasan DUN Rantau.

”Beri penerangan semasa dan isu-isu, kepada penceramah BN saya berharap gerak kerja kita disusun dengan baik dan berkempen bagi pihak parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penamaan calon di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dalam pada itu berkata, selain bertemu dengan pengundi beliau juga akan memanfaatkan media sosial.

Katanya, ini kerana kebanyakkan daripada golongan muda menggunakan medium tersebut untuk mendapatkan maklumat.

“Pengundi muda kebanyakkan mereka berinteraksi dalam media sosial, jadi medium itu merupakan sesuatu yang mempengaruhi golongan ini.

“Jadi saya cuba untuk berinteraksi lebih dalam media sosial bagi memberi penerangan dan dapat berhubung dan menyantuni pengundi muda,” ujar beliau.

Mohamad sebagai penyandang sejak 2004 pada PRN kali ini berhadapan saingan dua penjuru daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengetengahkan Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan.

Beliau yang terlebih dahulu memenangi kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 kini memegang portfolio sebagai Menteri Pertahanan selepas BN menyertai Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.