Mahdzir Diiringi Gelombang Biru Ke Pusat Penamaan Calon

PEDU, 29 Julai – Proses penamaan calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid dimeriahkan dengan gelombang biru yang mengiringi beliau ke pusat penamaan.

Penyokong dan pendukung BN yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum serta seluruh pimpinan BN yang lain tiba awal pagi untuk sama-sama menyemarakkan proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula hari ini.

Mahdzir Khalid atau lebih dikenali sebagai Tok Det diiringi kira-kira lebih 1,000 penyokong BN tiba di pusat penamaan calon Dewan Majlis Daerah Padang Terap pada pukul 8.45 pagi dan sempat bersua muka dengan calon-calon daripada parti lain yang turut menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Proses penamaan calon bermula pada 9 pagi ini dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Dengan semangat yang ditunjukkan oleh para penyokong UMNO/BN di DUN Pedu ini jelas menunjukkan bahawa rakyat rindukan parti ini untuk kembali menjadi kerajaan negeri Kedah.

Bagi PRN ini terdapat 36 kerusi DUN Kedah yang dipertandingkan dan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 menyaksikan Pas menguasai 15 kerusi, Bersatu (6), PKR (5), Parti Amanah Negara (4), manakala UMNO, Dap dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) masing-masing memiliki dua kerusi.

Pada PRN ini BN menampilkan 15 calon yang bertanding di DUN seluruh negeri Kedah dan selebihnya Pakatan Harapan (PH) bertanding sebanyak 21 kerusi.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, Mohd Radzi Md Amin dari Pas telah memenangi kerusi DUN Pedu dengan majoriti sebanyak 2,960 undi menewaskan pihak lawan dari parti BN (Kama Noriah Ibrahim) dan PKR (Hashim Idris). – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit