Demi Agenda Kemakmuran Rakyat, Megat Zulkarnain Tekankan Pentingnya Sokong BN/PH

GOMBAK, 29 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang tampil selaku calon Barisan Nasional (BN) bagi misi merampas DUN Gombak Setia menekankan bahawa amat penting bagi BN-Pakatan
Harapan (PH) menang di Selangor demi masa hadapan dan kemakmuran rakyat.

Tegasnya, Selangor perlu kekal di bawah BN-PH bagi memastikan pentadbiran sealiran dengan pusat untuk meneruskan agenda kemakmuran yang dibawa.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya tidak hanya akan menumpukan kempen di Gombak Setia kerana perlu memastikan BN-PH menyapu bersih 56 kerusi di Selangor.

“Ini penting kerana PRN Selangor bukan sekadar pilihan raya tetapi penentu kepada masa depan dan hala tuju negeri serta kemakmuran rakyat.

“Jangan kita rugikan undi terutama anak muda yang perlu dijauhkan dari politik adu domba, kata nista dan fitnah serta politik kebencian tidak sihat di Selangor.

“Kita juga perlu pastikan generasi muda bersama politik positif yang akhirnya boleh membawa keselesaan kepada rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon DUN Gombak Setia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu hari ini.

Untuk hari pengundian, Megat Zulkarnain mahu pengundi bijak dalam membuat keputusan pada PRN kali ini kerana ia akan menentukan masa depan negeri itu.

“Kita tahu kepimpinan Amirudin membawa Selangor kepada satu tahap boleh dibanggakan dan PRN ini penting untuk beri kesejahteraan, kemakmuran dan keselesaan rakyat Selangor,” katanya.

Megat Zulkarnain menghadapi saingan tiga penjuru berdepan penyandang Muhammad Hilman Idham (PN-Bersatu) dan calon Bebas Mohamed Salim Mohamed Ali.

Ditanya berkaitan debat terbuka, katanya beliau terbuka untuk menerima pelawaan mana-mana pihak membabitkan calon-calon di Gombak Setia.

“Saya tiada masalah untuk terima debat terbuka bersama calon-calon lain, kerana ini juga adalah salah satu cara kemuka tawaran kepada pengundi serta rakyat yang boleh membuat penilaian.

“Jangan kita lihat pentas debat ini medium untuk mengkritik atau mengaib sesiapa. Pada saya, saya sokong medium seperti ini (debat) jika dipersetujui oleh calon-calon lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi perarakan membawa tiga calon BN-PH ke pusat penamaan calon Sungai Pusu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu diadakan setelah kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun lepas membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.