Calon BN Tidak Gentar Bertembung Dengan Sanusi Di Jeneri

SIK, 29 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim tidak gentar menghadapi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Muhammad Khizri berkata beliau tetap optimis boleh memberikan cabaran sengit kepada Muhammad Sanusi walaupun Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dianggap sebagai calon ‘heavyweight’.

“Saya tiada kerisauan atau kegentaran kerana menentang Menteri Besar. Beban itu bukan pada saya, kalau saya kalah itu perkara biasa. Tapi kalau saya menang, rakyat Malaysia akan mengenal saya untuk lima tahun akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Sik di sini hari ini.

Mengulas mengenai visinya untuk pengundi di DUN Jeneri, Muhammad Khizri berkata antara fokus utamanya adalah pembangunan modal insan melalui pendidikan dan ilmu khususnya bagi golongan belia.

Justeru, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik berazam menemui seramai mungkin golongan muda di kawasan itu bagi menjelaskan visinya dengan harapan dapat menarik sokongan mereka.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata beliau mempertaruhkan prestasinya sebagai Menteri Besar selama tiga tahun untuk pertimbangan pengundi di kawasan itu.

“Tetapi jika dilihat kepada suasana semasa, saya yakin PN akan menang kedua-dua kerusi di Sik ini (termasuk Belantek). Saya harap para penyokong yang telah memberi undi kepada PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu di peringkat Parlimen akan kekal mengundi kami,” katanya.

Kerusi DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Muhamad Khizri dan Muhammad Sanusi yang juga penyandang kerusi berkenaan.

Pada PRU Ke-14, Muhammad Sanusi menang kerusi DUN Jeneri dengan majoriti 2,455 undi selepas mendapat 10,626 undi menewaskan calon BN Mahadzir Abdul Hamid dan Mohd Nazri Abu Hassan dari Pakatan Harapan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.