Bung Moktar Harap Jentera Fokus Laksana Gerak Kerja Tempoh Berkempen Untuk Kemenangan

GOMBAK, 29 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap agar jentera-jentera Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) terus menumpukan fokus kepada gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon-calon parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang telah memulakan tempoh kempen hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, jentera-jentera di akar umbi memainkan peranan yang cukup besar dalam memastikan kemenangan calon-calon dalam Kerajaan Perpaduan.

“Alhamdulillah perjalanan penamaan calon berlangsung lancar dan kehadiran penyokong kedua-dua pihak memang begitu ramai.

“Cuma yang saya mengharapkan jentera-jentera BN dan juga PH akan dapat menggerakkan seluruh anggota di semua PDM dan cawangan demi untuk memastikan kemenangan calon-calon daripada parti Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian kepada UMNO Online selepas mengiringi calon-calon Kerajaan Perpaduan untuk proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Kata Bung Moktar, berdasarkan maklum balas dan perkembangan semasa, beliau cukup yakin bahawa BN-PH akan dapat mendepani pelbagai cabaran dan beroleh kejayaan.

“Saya cukup yakin walaupun banyak cabaran dan juga rintangan dalam menghadapi kempen PRN di negeri-negeri tapi nampak gaya maklum balas daripada akar umbi amat menggalakkan kepada calon-calon kerajaan.”

Beliau turut menjelaskan bahawa UMNO Sabah turun seramai 450 orang selaku jentera bagi membantu menggempur pengundi sepanjang tempoh berkempen ini.

“UMNO Sabah seramai lebih kurang 450 anggota akan membantu calon-calon dan menggerakkan jentera di seluruh Selangor untuk memastikan kemenangan.

“Saya sentiasa memperingatkan jentera-jentera khususnya kepada UMNO Sabah supaya memastikan dalam masa dua minggu ini fokus dengan kerja masing-masing yang telah kita arahkan.

“Kita juga mahu memastikan bahawa kita berfungsi dan berperanan untuk memastikan kemenangan calon-calon di semua peringkat ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Bung Moktar bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengiringi perarakan membawa tiga calon BN-PH ke pusat penamaan calon Sungai Pusu.

Calon BN ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang tampil bagi menawan DUN Gombak Setia. Beliau menghadapi saingan tiga penjuru berdepan penyandang Muhammad Hilman Idham (PN-Bersatu) dan calon Bebas Mohamed Salim Mohamed Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu diadakan setelah kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun lepas membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.