Rakyat Negeri Sembilan Perlu Pilih Kerajaan Negeri Sealiran Dengan Persekutuan – Mohamad

PORT DICKSON, 28 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rakyat Negeri Sembilan perlu memanfaatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini untuk memilih kerajaan negeri yang sealiran dengan Pusat.

Beliau berkata ini kerana pelbagai faedah akan diperoleh termasuk agenda ekonomi untuk membangunkan negeri yang juga akan menguntungkan rakyat.

“Negeri Sembilan hendak membangun mesti ada dukungan dan sokongan daripada kerajaan Pusat jika tidak amat susah untuk kita bergerak sendirian untuk membangunkan negeri.

“Jadi rakyat Negeri Sembilan tiada pilihan kena buat keputusan betul, pilih kerajaan yang betul bersama dengan Pusat kerana kalau tidak bersama maka harapan untuk membangunkan negeri susah untuk realisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Negeri Sembilan di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi Barisan Nasional yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan kepimpinan lain.

Dalam pada itu, Mohamad berkata pelbagai pembangunan telah dirangka meliputi pelbagai sektor bagi menjana ekonomi di negeri termasuk meluaskan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Kami telah pun merancang untuk membawa banyak projek di negeri ini, Perdana Menteri telah mengikhtiarkan satu projek iaitu Kementerian Kesihatan bernilai RM300 juta akan dibangunkan di Enstek.

“Saya juga sedang merancang metropolis industri pertahanan negara di Malaysia Vision Valley, malah ada juga beberapa syarikat multinasional… yang sudah dikenalpasti dengan kerajaan Turkiye untuk memasang dan mengeksport helikopter.

“Negeri Sembilan berhampiran dengan Putrajaya dan Kuala Lumpur bahkan menjadi sebahagian daripada Lembah Klang nescaya akan dapat dibangunkan dengan pesat ,” ujar beliau.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, Ekonomi Madani yang dilancarkan kerajaan semalam juga membuktikan komitmen kerajaan dalam membawa hala tuju terbaik buat negara.

“Perdana Menteri telah pun melancarkan Ekonomi Madani memperkasakan rakyat pelbagai teras telah pun diberikan untuk perkasa ekonomi negara.

“Jelas apa yang dibentangkan telah memberikan satu mesej pada pelabur asing bahawa Malaysua mahu menjadi negara ekonomi terbesar di asia Tenggara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.