Calon Terbaik Ditawar Kerajaan Perpaduan, Bukti Komitmen Prihatin Rakyat – Ahmad Zahid

PORT DICKSON, 28 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan memperkukuh sokongan ke arah kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) terutama di Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ini termasuk calon terbaik yang telah ditawarkan bagi membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Produk yang baik, calon yang baik, kerajaan Madani yang baik aset kepada kita.

“BN ada 17 kerusi tapi saya mahu beri tahu rakan-rakan PH bahawa kita tidak hanya bekerja di kawasan-kawasan ditandingi BN sahaja tetapi jentera UMNO/BN akan turut bekerja di seluruh 36 Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Negeri Sembilan di Padang Pejabat Daerah Dan Tanah Port Dickson, malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan kepimpinan lain.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid dalam pada itu melahirkan penghargaan dengan semangat daripada jentera BN-PH yang hadir pada majlis berkenaan.

Katanya ini kerana semangat perpaduan ditonjol mereka luar biasa bagi mengekalkan penguasaan Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

“Sekali lagi kita tidak mahu mendahului hukum Allah tetapi azam insya-Allah kalau kerja keras Negeri Sembilan kita akan dapat kemenangan di kerusi ditandingi.

“Apabila saya turun ke bawah melihat keserasian jentera BN-PH di enam negeri memang saya akui ini merupakan kerjasama yang terbaik di antara negeri lain.

“… dalam situsi beginilah komitmen semua, iltizam untuk menangkan negeri ini dengan kekalkan kerajaan negeri ini rakyat Negeri Sembilan ini terus disejahtera dan dimakmurkan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.