Ahmad Said Pesan… Cukup Sekadar Di sini Pemerintahan Pas Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengajak rakyat negeri itu untuk sama-sama melakukan perubahan di negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

Menurut beliau cukuplah sampai di sini sahaja segala kepercayaan yang diberikan kepada Pas untuk mentadbir negeri berkenaan kerana parti tersebut tidak mampu untuk meneruskan langkah sebetulnya.

“Masa saya buat ‘draw bridge’ apa wakil rakyat Pas katakan pada ketika itu…projek membazir dan tidak pernah dibuat kajian. Hari ini sebaliknya pula menjadi kebanggan Pas Terengganu. Waktu pembinaan mereka katakan menyusahkan rakyat… apabila siap hari ini dataran ‘draw bridge’… dapat hadiah antarabangsa,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pimpinan BN negeri serta rakan-rakan parti yang lain.

Ahmad Said seterusnya memberikan contoh lain berhubung sikap dan tindak-tanduk Pas yang hanya pandai mengkritik dalam usaha mempengaruhi pemikiran rakyat.

“Ketika saya bangunkan pelancongan di Tasik Kenyir… mereka katakan pula siapa yang akan datang ke Tasik Kenyir tempat ‘jin tendang’. Akhirnya pada 2017 MB sendiri memberikan jawapan kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir seramai 817,000 orang. Hari ini lebih 100 ‘house boat’ pun tidak mencukupi,” tambahnya.

Tambah beliau lagi itulah sikap sebenar Pas dan rakyat Terengganu perlu sama-sama lakukan perubahan pada kali ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.