PRN: Penampilan 23 Peratus Calon Pemuda UMNO Bukti Parti Terbuka Dengan Bakat Muda Baharu

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Penampilan 23 peratus calon daripada sayap Pergerakan Pemuda UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menunjukkan keterbukaan parti terhadap bakat muda UMNO.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah berani parti tersebut turut disulami dengan semangat untuk menawarkan yang terbaik dari kalangan terbaik kepada para pengundi.

“PRN di enam buah negeri bakal menampilkan 12 orang calon daripada sayap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan 13 orang mantan Pemuda UMNO yang baru empat bulan tamat penggal dengan jumlah 25 calon daripada keseluruhan 108 calon UMNO/Barisan Nasional (BN).

“23 peratus calon daripada jalur Pemuda menggambarkan keterbukaan parti terhadap bakat muda UMNO. Langkah berani ini disulami semangat menawarkan yang terbaik dari kalangan terbaik kepada para pengundi.

“Pemuda UMNO menyambut dengan penuh rasa penghargaan atas kepercayaan yang diberikan,” katanya menerusi satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, di sini, sebentar tadi.

Jelasnya, tumpuan PRN kini perlu beralih dari meniup sentimen 3R (Royal, Race, Religion) yang diyakini mampu memecahbelahkan masyarakat kepada politik berpaksikan pembangunan dan penyatuan.

“Dengan semangat Pemuda memimpin masa depan negara, tumpuan PRN kini perlu beralih dari meniup sentimen 3R yang memecahbelahkan masyarakat kepada politik berpaksikan pembangunan serta kemajuan menyatupadukan rakyat.

“Walaupun pencalonan ditentukan oleh pucuk pimpinan, namun mandat yang diberikan datang daripada rakyat. Oleh itu, calon-calon BN dari Pemuda UMNO yang menang perlu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) diberikan demi menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Berkhidmat.

“Penilaian berterusan berkala menerusi tinjauan sentimen rakyat akan dijalankan untuk memantau prestasi calon yang menang,” katanya lagi.

 

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal turut menegaskan bahawa ketegasan terhadap pemimpin Pemuda ini dituntut bagi membuktikan komitmen parti kepada rakyat.

“Kegagalan menepati KPI akan dipanggil, diberi amaran atau tindakan akan diambil.

“Ketegasan terhadap pemimpin Pemuda UMNO ini dituntut bagi membuktikan komitmen parti kepada rakyat dan sebagai mesej jelas bahawa gelaran Yang Berhormat adalah mesti menjadi Yang Berkhidmat terlebih dahulu,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian.

Manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai ini dan 8 Ogos. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.