Kerajaan Negeri Gagal Urus Bekalan Elektrik, Pelabur Di KRC Hampir Tarik Diri

PADANG TERAP, 27 Julai – Kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah kemasukan bekalan elektrik di Kedah Rubber City (KRC) di Padang Sanai dekat sini, hampir menyebabkan salah satu daripada dua pelabur menarik diri jika masalah itu gagal diselesaikan segera.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehingga kini tiada jaminan daripada kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh terdekat memandangkan masalah pengambilan tanah untuk memasang tiang elektrik juga difahamkan masih belum selesai.

“Sekarang ini sudah masuk tahun keenam tetapi elektrik tak boleh sampai lagi ke KRC. Mengapa elektrik tak boleh sampai? Kerana Menteri Besar tak ambil peduli sedangkan pembangunan di situ penting kerana boleh membuka ribuan peluang pekerjaan.

“Kalau Menteri Besar ambil peduli, ‘hang’ panggilah pihak Pejabat Tanah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak terlibat untuk tanya bila nak siap? Tetapi Menteri Besar tidak buat kerja itu sebaliknya asyik mengata dan memfitnah orang.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya Negeri Kedah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dan Kuala Nerang di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Kuala Nerang dekat sini, hari ini.

Menurutnya, bekalan elektrik khas di kawasan KRC perlu dihubungkan dari Tanjung Pauh, Jitra sejauh 42 kilometer kerana kawasan industri tersebut memerlukan penggunaan elektrik yang banyak.

“Minggu lepas salah satu pelabur datang jumpa saya dan memaklumkan kalau Februari tahun depan, elektrik tak masuk ke sana, mereka terpaksa tarik diri. Saya katakan kepada mereka sabar sekejap dan tunggu hingga 12 Ogos depan untuk kita tukar kerajaan dan laksanakan projek tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut pada sidang media selepas itu, Mahdzir yang juga calon BN bagi DUN Pedu berkata, ketidak pastian berkaitan kemudahan asas itu sudah tentu mendatangkan kerisauan kepada pelabur ketika mereka juga dikhabarkan sentiasa diundang untuk melabur di tempat-tempat lain.

“Kalau kerajaan negeri keluar kenyataan mengatakan boleh masuk elektrik pada September atau Oktober dan sudah ada keputusan dari exco untuk pengambilan tanah, maka mudahlah. Menteri Besar ada di situ, maka beliau bolehlah panggil pihak berkaitan untuk kepastian.

“Tetapi kalau kerajaan negeri tak mulakanta, maka perkembangannya jadi lambatlah. Pelabur tak boleh tunggu kerana itu akan membuatkan mereka rugi,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.