Rakyat Kelantan Perlu Pilih Kerajaan Yang Boleh Bantu Rakyat, Rancak Pertumbuhan Ekonomi

MACHANG, 26 Julai – Rakyat di Negeri Kelantan perlu memilih parti yang boleh membantu mereka di samping membawa negara ke arah kestabilan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong selepas tiada satu pun parti mendapat mandat majoriti.

“Pihak sebelah sana (Perikatan Nasional) kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tipu Agong. Siapa yang menipu sebenarnya? Agong panggil Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan satu permintaan sahaja iaitu membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sampai bila kita nak jadi seperti ini? Kita perlukan kerajaan yang stabil. Tetapi siapa yang menolak Kerajaan Perpaduan ini? Perikatan Nasional (PN) yang dalam gabungannya ada PPBM dan juga Pas.

“Apabila ditanya kepada Muhyiddin, beliau tolak mentah-mentah. Tanya Anwar dan Zahid, mereka setuju dengan titah tuanku. Maknanya siapa yang menolak perpaduan ini? Alih-alih mereka cakap kita ini musuh Islam,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Madani peringkat Negeri Kelantan.

Menurutnya, musim pilihan raya ini selalunya akan turut menjadi pesta jualan murah ‘syurga dan neraka’ terutamanya untuk parti Pas.

“Pilihan raya selalu akan menjadi pesta jualan murah. Bukan jual orang, ikan atau sayur tetapi jual syurga dan neraka.

“Macam mereka pula yang pegang kunci syurga dan neraka. Siapa mereka mahu menentukan syurga dan neraka seseorang?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat untuk bersatu-padu dan menyokong Kerajaan Perpaduan bagi membentuk negara yang makmur.

“Hari ini kita nak pilih kerajaan yang mahu membantu rakyat dan membawa negara ke arah kestabilan. Kita perlukan negara yang lebih makmur untuk meningkatkan ekonomi. Untuk itu, rakyat dan negara perlu bersatu-padu.

“Untuk mendapatkan negara yang stabil, pentadbiran di pusat dan negeri mestilah selari. Kita perlu memastikan agar kerajaan yang dibentuk ini dapat menaikkan martabat manusia dan rakyat secara keseluruhannya. Sokonglah Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis ini ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, para pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan seluruh kepimpinan UMNO negeri. – UMNO Online

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.