Profesional Ke Politik, Hasnal Rezua Pertaruh Pengalaman Bidang Guaman

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican mempertaruhkan pengalamannya sebagai peguam ke dunia politik.

Hasnal Rezua yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang berkata ini kerana selain melakukan hal-hal membabitkan kemasyarakatan beliau juga sering kali menawarkan khidmat nasihat perundangan.

“Kelebihan yang boleh saya berikan ialah memberi khidmat sebagai seorang peguam selain melakukan kerangka gerak kerja sebagai ahli politik.

“Saya menawarkan khidmat nasihat, bantuan guaman. Sebenarnya ramai rakyat khususnya luar bandar tidak akses kepada keadilan dan undang-undang.

“Mereka tidak tahu platform perundangan untuk mendapat pembelaan. Jadi sebagai peguam di lapangan agak mudah untuk saya memberikan bantuan,” katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas berkenaan dinamika politik pada hari ini, beliau berkata Kerajaan Perpaduan mendapat penerimaan rakyat yang sangat memberangsangkan dalam kalangan rakyat.

Katanya ini kerana mereka memahami bahawa amat penting untuk negara memiliki kerajaan yang stabil.

“Kita bertanding mesti hendak menang khususnya di negeri Selangor ini untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Penerimaan mereka terhadap gabungan ini pun agak natural cuma kita terpaksa menangani sedikit ancaman Perikatan Nasional dengan politik perkauman, jumud dan sempit yang dibawa, itu perkara yang perlu kita tangani,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut berkata meskipun UMNO/BN pada ketika ini melalui kerjasama dalam membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan, ianya sama sekali tidak merencatkan nilai perjuangan yang selama ini didukung parti.

Jelas Hasnal Rezua, ini kerana UMNO/BN akan terus membawa agenda membantu rakyat tanpa mengira agama dan bangsa di samping memulihkan ekonomi negara melalui Kerajaan Perpaduan.

“Zaman berubah tetapi UMNO/BN tidak berubah namun sentiasa mencari rakan sekerja politik dengan parti-parti lain untuk kelansungan politik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat tanpa mengira kaum, ras dan kedudukan,” katanya. – UMNO Online

Jom ikuti media sosial calon Barisan Nasional bagi DUN Kuang ini:
Laman web: https://hasnalrezuamerican.com/
Facebook: Hasnal Rezua Merican – Page
TikTok: Hasnal Rezua Merican
Instagram: hasnalrezuamerican
Twitter: Hasnal Rezua Merican

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.