Pertahankan Posisi ‘Rakan Teras’ Kerajaan Perpaduan Demi Masa Depan Rakyat, Negara
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO tetap menjadi salah suatu suara yang efektif dalam Kerajaan Perpaduan terutamanya tentang isu-isu teras negara seperti prinsip Perlembagaan, kedaulatan negara, Institusi Raja-raja Melayu, agama Islam serta masalah rakyat dan golongan muda, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad.
Ini katanya, termasuklah kenyataan-kenyataan serta desakan oleh Pemuda UMNO dalam mempertahankan posisi parti sebagai ‘rakan teras’ di dalam Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 15, UMNO memegang jawatan tertinggi di dalam pemerintahan negara tetapi kini kerajaan didominasi oleh pihak-pihak lain.
“Secara jelas melihat bahawa UMNO turut serta memimpin, bukan dipimpin atau didominasi oleh mana-mana pihak cumanya gabungan Kerajaan Perpaduan kali ini melibatkan rakan-rakan baharu yang sebelum ini mungkin merupakan lawan kepada UMNO.
“Mulanya agak sukar untuk memperjelaskan kepada seluruh ahli terutamanya di peringkat akar umbi tentang kebijakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi parti menyertai Kerajaan Perpaduan. Pada masa yang sama tidak memilih untuk membentuk kerajaan bersama dengan Perikatan Nasional.
“Kini setelah lebih lapan bulan ramai ahli UMNO sudah dapat merasa sendiri bagaimana parti ini tetap relevan di dalam pemerintahan negara. Perjalanan pemerintahan negara dan peranan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan kali ini jauh lebih baik daripada sebelum PRU ke-15,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Seterusnya kata Shauqi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) parti pembangkang telah memainkan isu-isu yang berkaitan 3R (agama, raja dan kaum).
“Pihak pembangkang sudah mula memainkan isu-isu berkaitan 3R seolah-olah UMNO yang membiarkan parti-parti gabungan lain (di dalam kerajaan Perpaduan) bebas mempertikaikan tentang agama, kedudukan institusi Raja-raja Melayu serta hak istimewa orang-orang Melayu.
“Mereka memainkan sentimen bahawa UMNO berkompromi dengan PKR dan Dap hanya semata-mata kerana ingin terus berkuasa. Perkara-perkara seperti inilah yang perlu ditangani dengan cara yang paling berhikmah oleh parti ini.
“Kadang-kadang berlaku sedikit pertikaian dan salam faham di kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan, di situlah Pemuda UMNO memainkan peranan sebagai ‘semak dan imbang’ dalam menegur pihak-pihak yang terlibat,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama Shauqi juga menyeru agar seluruh ahli memberi sokongan kepada pucuk pimpinan parti dan memberikan kesetiaan tidak berbelah bahagi.
“Kita punya masa untuk perbaiki diri, keazaman, tingkatkan usaha dan memperkukuhkan permuafakatan parti kita. Ramai yang telah lari meninggalkan parti kita, ada yang menikam dari belakang, ada yang menusuk secara terang-terangan tetapi UMNO masih berada di tampuk kuasa.
“Kepimpinan dan seluruh ahli UMNO telah mengambil iktibar daripada kepincangan serta kegagalan sebelumnya. Peluang membuktikan kepimpinan di dalam Kerajaan Persekutuan seharusnya dimanfaatkan secara bekesan dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti kita,” ujarnya lagi. – UMNO Online