Majlis Ulama UMNO Seru Pelihara Keharmonian, Politik Berakhlak Sepanjang Kempen PRN

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Dalam mendepani kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, Majlis Ulama UMNO menasihati umat Islam agar mengamalkan politik kepartian yang sihat dan berakhlak dengan mengelakkan politik fitnah.

Dalam kenyataan medianya selepas bermesyuarat petang Selasa yang dipengerusikan oleh Datuk Dusuki Ahmad, Majlis Ulama UMNO juga berpesan agar tidak bersikap mengadu domba, mengejek, merendah-rendahkan, maki hamun serta mencela sesama muslim dan rakyat dengan menjadikan peringatan Allah dalam Surah al-Hujurat Ayat 11 dan 12 sebagai panduan.

“Menyeru supaya kempen PRN tidak dicemari pelanggaran 3R (Royal, Religion dan Racist) melibatkan sentimen institusi Raja-Raja Melayu, agama dan kaum yang menggugat dan mencetuskan ketidakharmonian masyarakat sekaligus mencarikkan perpaduan negara yang menjadi asas kepada kestabilan negara,” kata kenyataan itu lagi.

Selanjutnya, Majlis Ulama UMNO Juga mendesak agar sebarang bentuk penghinaan kepada institusi Diraja diambil tindakan yang tegas menurut lunas undang-undang negara kerana ia akan menggoyahkan keutuhan kesetiaan dan ketaatan kepada sultan dan Raja Melayu yang menjadi tonggak ulil amri di negara ini.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Ulama UMNO juga mengambil kesempatan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Semoga Allah menempatkan roh Allahyarham bersama para anbiya dan solihin atas sumbangan beliau kepada negara dan agama. Mudah-mudahan segala sumbangan tersebut menjadi amal jariah kelak,” kata kenyataan itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.