PRN: Berkempen Soal Perpaduan Bawa Kemakmuran – Azalina

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Kurang dari tiga minggu untuk pengundi enam negeri memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk kerajaan negeri masing-masing.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengajak semua parti yang bertanding untuk berkempen soal perpaduan yang membawa kepada kemakmuran.

“Yang dicanang hari-hari, yang dibuat provokasi hari-hari, isu Melayu Islam terancam dan 3R (agama, raja dan kaum). Majoriti ahli Parlimen hari ini beragama Islam, penuh kat Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Menteri pun ramai Islam.

“Dulu, boleh DAP; ‘now’, semua tak boleh. Kenapa? Sebab bukan lagi kerajaan, bukan lagi PM (Perdana Menteri)?

“Kita berkempen soal perpaduan membawa kemakmuran, pembangunan, keperluan dan kebajikan rakyat, dasar-dasar yang membawa perubahan secara progresif,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, Isnin.

Beliau juga turut melontarkan persoalan bolehkah keputusan enam negeri menukar Kerajaan Pusat?

“Kerajaan Perpaduan MADANI hari ini mempunyai 148 kerusi di Parlimen, dua pertiga daripada jumlah kerusi di Parlimen. Undang-Undang Anti-Lompat Parti 2022 melarang mana-mana wakil rakyat daripada tukar Parti. Yang nak lompat kena hadapi PRK (Pilihan Raya Kecil). Bukan murah nak buat PRK,” tegasnya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di keenam-enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos hari pengundian manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.