Kelantan Ubah: Ahmad Jazlan Harap Pengundi Beri Peluang, Ubah Nasib Rakyat

MACHANG, 25 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berharap agar para pengundi di negeri tersebut memberikan peluang kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini untuk mengubah nasib rakyat.

Ini kerana katanya tiada apa yang mustahil termasuklah untuk mengubah ataupun menoktahkan pentadbiran Pas di negeri ‘serambi Mekah’ itu.

“Kehadiran pada malam ini merupakan satu petanda untuk ubah Kelantan. Insya-Allah Kelantan akan berubah. Malam ini sejarah tercipta. Kita tidak pernah terfikir dapat duduk bersama-sama dalam gabungan perpaduan untuk pastikan rakyat Kelantan dibela pada PRN ini.

“Semua ini bergantung kepada kita. Kita berdoa kepada Allah dan berikhtiar. Saya selaku orang yang dipertanggungjawabkan sebagai pengerusi perhubungan, meminta dan menyeru supaya seluruh jentera balik ke kawasan masing-masing, bekerja habis-habisan.

“Tiada yang mustahil. Insya-Allah kita akan bekerja dengan kuat untuk memenangi hati rakyat Kelantan,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Madani peringkat Negeri Kelantan pada Ahad.

Jelasnya, beliau turut merasakan bahawa rakyat Kelantan sedia untuk memberikan mandat kepada parti-parti Kerajaan Perpaduan membentuk kerajaan di negeri tersebut.

“Naluri saya merasakan kali ini rakyat Kelantan sedia untuk memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan. Saya menyeru seluruh rakyat Kelantan secara tulus dan ikhlas untuk semua calon, berilah peluang kepada kami berjasa dan ubah nasib rakyat.

“Perkara-perkara baik yang telah dilaksanakan akan kita kekalkan… yang telah ada dan boleh diperbaiki akan ditambah baik. Sekiranya rakyat beri kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan, saya akan menjadi penyemak dan imbang kepada wakil-wakil rakyat dipilih,” katanya lagi.

Ahmad Jazlan turut menyatakan ikrar Kerajaan Perpaduan untuk bekerja keras bagi membela nasib rakyat sekiranya diberi mandat.

“Cukup-cukuplah, sudah-sudahlah. Berilah peluang dan harapan baharu untuk membina ‘Kelantan Baharu’. Kami berikrar akan bekerja habis-habisan untuk membela nasib rakyat.

“Patah sayap bertongkat paruh. Biar putih tulang, jangan putih mata. Insya-Allah pada 12 Ogos ini gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan kibarkan panji-panji kemenangan,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis ini ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, para pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan seluruh kepimpinan UMNO negeri. – UMNO Online

Kenali calon-calon Barisan Nasional yang bertanding di Pilihan Raya Negeri Kelantan:
𝐂𝐚𝐥𝐨𝐧 𝐁𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚𝐧 𝐍𝐚𝐬𝐢𝐨𝐧𝐚𝐥 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐑𝐚𝐲𝐚 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐊𝐞-𝟏𝟓: 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐊𝐄𝐋𝐀𝐍𝐓𝐀𝐍


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit