Jemaah Menteri Setuju Secara Prinsip Semak Akta Hasutan 1948 – Azalina

PUTRAJAYA, 25 Julai – Jemaah Menteri hari ini bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 [Akta 15] disemak dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan itu digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina dalam kenyataan hari ini berkata beliau telah membentangkan kepada Jemaah Menteri hari ini hasil Dialog Perundangan 3R yang diadakan pada 21 Julai lepas bagi menangani isu provokasi melibatkan agama, bangsa dan Institusi Raja-Raja (3R).

Beliau berkata aspek lain berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu, jika perlu, mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan Institusi Raja-Raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta Hasutan 1948 [Akta 15].

“Ia bagi memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah benar-benar bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.