PRN: UMNO Tidak Gadai Maruah, Sokong Perpaduan Demi Kestabilan – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata UMNO tidak sama sekali menggadaikan prinsip dan maruah hanya kerana dalam Pakatan Harapan (PH) itu ada Dap yang sebelum ini pernah menjadi seteru politik.

Menurutnya, pada hujung tahun lalu UMNO bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan atas titah Yang Di pertuan Agong (YDPA) bagi menstabilkan keadaan politik negara.

Jelasnya, dalam beberapa minggu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, keadaan negara ini seolah-olah ‘kerajaan tergantung’ dan memberi kesan yang amat besar khususnya kepada kestabilan sosio ekonomi negara.

“Dalam tempoh lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sekarang, Alhamdulillah keadaan negara dapat distabilkan meskipun masih berhadapan cabaran getir memulihkan kemelut ekonomi.

“UMNO berperanan dalam kerajaan dengan memperjuangkan dasar yang lebih baik, idea yang lebih bernas, amalan yang lebih telus dan pemikiran lebih besar serta pragmatik.

“Perjuangan ini masih panjang dan perlukan masa yang lebih panjang. Justeru, Kerajaan Perpaduan ini mesti dipertahankan. Maka, sesiapa saja yang bertanding dalam persekutuan PH dan BN, kita perlu memberi undi,” katanya menerusi satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Hasmuni, UMNO sudah membuat banyak perubahan dan pembaharuan semata-mata untuk memastikan dan meneruskan survivalnya sebagai sebuah parti yang membela rakyat.

“Di mana-mana pun UMNO tetap UMNO. UMNO tetap akan bersuara apabila ada hal-hal yang menyentuh isu agama, bangsa dan negara. Hanya mungkin apabila dalam sekutu yang sama, kita mendapat saluran terus dan langsung untuk menyampaikan sebarang kritikan dan teguran. Saluran memberi pandangan sudah ada.

“Mungkin itu umum tidak lagi nampak kelantangan UMNO. Namun, apabila sudah menjadi kawan, kita akan menegur dan mengkritik cara kawan. Tak perlu lagi menjerit dan memekik apatah lagi melolong atau meroyan tak ketahuan punca.

“Maka, usahlah ragu-ragu untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. Pilihlah dan undilah UMNO dan rakan-rakan sekutu kami dalam PH. Mari kita bina dan bangunkan semula negara kita dan angkat martabatnya pada harakat yang lebih tinggi dan mulia,” katanya lagi.

Katanya Hasmuni lagi, memetik satu peribahasa Melayu, ‘ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya’ dan UMNO sekali-kali tidak pernah menggadai maruah, prinsip dan perjuangannya walaupun bersama PH.

“Saya tegaskan bahawa undi Dap sekalipun sama sekali tidak akan menggadai maruah, prinsip dan perjuangan kita sebagai orang UMNO. Setiap langkah yang kita susun, setiap tindakan yang kita atur adalah strategi untuk bangkit dan mengukuhkan kembali UMNO dan perlu menang setiap kerusi yang dipertandingkan dalam PRN kali ini.

“UMNO di mana? UMNO tetap UMNO dan UMNO tetap menjunjung prinsip dan tradisi perjuangannya iaitu membela agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Ujarnya lagi, PRN 2023 akan diadakan pada 12 Ogos nanti di enam buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“PRN enam negeri ini melibatkan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi rebutan parti-parti bertanding untuk mendapatkan mandat baharu rakyat. Adakah UMNO/BN akan bertanding? Adakah UMNO akan bersama sekutunya PH dan soalan cepu emas paling panas, adakah orang-orang UMNO kena undi Dap?

“Ya, sudah tentu UMNO akan bertanding di beberapa kerusi yang telah dipersetujui bersama PH yang menjadi komponen dalam Kerajaan Perpaduan sekarang ini. Sekali pun mungkin beberapa kerusi, parti ini tetap akan bertanding di kerusi yang telah disetujui dalam keputusan itu dan kita akan bertanding, berlawan habis-habisan,” tegasnya.

Tegasnya lagi, mungkin masih ada di kalangan ahli UMNO yang masih ekstrem dan belum menerima keputusan UMNO/BN bersama PH mendirikan Kerajaan Perpaduan meski perkara ini sudah dijelaskan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit