PRN: Nilai Kepimpinan Kerajaan Perpaduan, Fokus Utamakan Rakyat Dan Negara – Sharif Musa

LAHAD DATU, 24 Julai – Rakyat boleh menilai pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan, selepas menerima watikah menjadi kerajaan dan kemudiannya mereka terus berkhidmat kepada rakyat dan membantu yang memerlukan.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul yang menekankan bahawa kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan sentiasa mengutamakan rakyat dan negara.

“Rakyat boleh menilai pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan, selepas menerima watikah menjadi kerajaan, seolah-olah setiap waktu adalah pilihan raya kerana sentiasa turun padang berkhidmat kepada rakyat dan membantu mereka yang memerlukan.

“Rakyat ada bukti jelas mengenai pencapaian Kerajaan Perpaduan, selain ikhlas dan sentiasa menolong rakyat. Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Zahid Hamidi dan seluruh pimpinan Kerajaan Perpaduan, yang mengilhamkan dasar untuk rakyat seperti Malaysia Madani dan lain-lain,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Jelas beliau, masyarakat Madani diasaskan di atas prinsip akhlak dan pemerintahan berasaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu iaitu pertumbuhan institusi kemasyarakatan dengan lembaga yang menjadi pengantara antara keluarga dan negara, kecemerlangan serta cita rasa, menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, mengembalikan nilai perikemanusiaan dan menyegarkan sikap berlapang dada.

Dalam hal ini, beliau mengaitkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos dengan UMNO Bahagian Lahad Datu turut mengambil tempat selaku jentera parti.

“UMNO Sabah tidak pernah berdiam diri, gendang perang enam PRN telah dipalu, wisel ditiup untuk memberi arahan kepada keseluruh jentera untuk sedia menggempur.

“Insya-Allah, UMNO Bahagian Lahad Datu turun padang bermula 27hb hingga 14hb Ogos bagi memberi khidmat yang terbaik demi kelangsungan perjuangan parti.

“Kepada rakan-rakan seperjuangan yang hadir membantu PH-BN enam negeri, semoga diberikan kekuatan dan semangat jati yang tinggi, sebenarnya parti kita yang menjadi calon, bukan individu yang menjadi calon,” katanya lagi.

PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos depan dengan hari penamaan calon pada 29 Julai ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.