Kerajaan Perpaduan Kekal Kukuh Dengan Kerjasama Mantap, Tolak Talam Dua Muka – Ak Mohd Yazri

KUALA PENYU, 24 Julai – Semua parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan perlu mencari titik persamaan untuk memperkukuh kesatuan dan bukan menumpukan kepada perbezaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahya berkata sewajarnya semua pemimpin parti berusaha membawa kerjasama dan kestabilan di peringkat kerajaan ke peringkat ahli parti serta akar umbi.

“Apabila semua parti itu telah menzahirkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, maka lakukanlah secara jujur dan ikhlas demi kestabilan politik dan kemajuan negara dan janganlah ada bersikap talam dua muka iaitu di peringkat negeri menyokong Kerajaan Perpaduan sedangkan di peringkat pusat bersekongkol dengan pihak pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee apabila di peringkat negeri menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan dalam masa yang sama di peringkat nasional menjadi Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Perkara ini menjejaskan kredibiliti beliau (Yong) sebagai pemimpin, malah boleh menjejaskan imej kerajaan negeri dan juga Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS kerana sebelum ini menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri namun dalam masa yang sama ada pemimpin dalam GRS bersikap ‘talam dua muka’,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Beaufort menggesa Hajiji bertanggungjawab terhadap isu ini dan menjelaskan kepada umum kedudukan sebenarnya Yong agar tidak menimbulkan persepsi terhadap sokongan GRS yang sebelum ini telah menzahirkan sokongan padu kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kita mahu pernyataan sokongan ini bukannya sandiwara, perbuatan seharusnya tidak menghalalkan cara, jika di peringkat pusat UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah sebahagian dari komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, di Sabah kita (UMNO/BN) tidak ubah seperti pembangkang justeru jika isu ini tidak dijelaskan, nampak ketidakjujuran GRS dalam menyokong kepimpinan Perdana Menteri,” jelas Ak Mohd Yazri.

Menurut Ak Mohd Yazri Kerajaan Perpaduan hari ini menggabungkan kerjasama pelbagai parti politik mewakili wilayah, kemajmukan kaum, agama dan budaya serta ciri penting memastikan Malaysia kekal aman harmoni bagi menyokong pentadbiran negara.

Terdahulu Ak Mohd Yazri turut merasmikan Mini Tournament Simulasi Takraw peringkat daerah di Dewan Masyakat Kampung Kerukan Kuala Penyu yang bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan sepak takraw selain melibatkan golongan belia dalam aktiviti sukan dan riadah dari terjebak dengan aktiviti negatif.

Katanya, acara tersebut akan dijadikan acara tahunan dan diperluaskan ke peringkat Parlimen Beaufort.

“Pemuda UMNO melihat aktiviti sukan merupakan satu platfrom untuk mendekati golongan muda dan ianya akan dijadikan tarikan bagi menarik lebih ramai anak muda khususnya dalam menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangan politik mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.