Komitmen PM, TPM Bukti Malaysia Madani Serius Bantu Komuniti GiG

KUANTAN, 23 Julai – Komitmen dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tentang nasib pekerja industri GiG membuktikan keseriusan kerajaan Perpaduan membela nasib komuniti tersebut di negara ini.

Pengerusi Majlis Komuniti GiG Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pada 17 Julai lalu, Ahmad Zahid menyatakan komitmen bahawa kerajaan berhasrat menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dengan secepat mungkin, bagi menambah baik perlindungan sosial serta kebajikan penggiat industri berkenaan.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Kesatuan Sekerja UMNO berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO turut mencadangkan supaya peruntukan ekonomi GiG dinaikkan lebih daripada RM100 juta dalam Bajet 2024.

“Lima hari selepas itu, Perdana Menteri pula menyentuh tentang nasib pekerja industri GiG termasuk mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi menubuhkan sekretariat p-hailing bagi menyelaras kegiatan ekonomi GiG dan pekerja tidak formal.

“Ini membuktikan kerajaan Perpaduan menerusi slogannya Malaysia Madani begitu serius bagi membela nasib pekerja industri GiG sekali gus memberi sinar baharu kepada penggiat sektor berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, dalam program Temu Anwar bersama Belia P-Hailing di Petaling Jaya, Selangor, Perdana Menteri menyatakan bahawa perlu ada sekretariat atau jawatankuasa bagi membolehkan kerajaan membantu warga p-hailing dengan lebih efektif dan berterusan.

Anwar juga meminta diberikan masa seminggu dan beliau akan memanggil semua syarikat pengendali p-hailing bagi memberikan penjelasan beberapa isu dihadapi penghantar makanan dan barang ketika ini.

Perdana Menteri turut mempertimbangkan peruntukan tambahan melalui Tekun Nasional yang ketika ini berjumlah RM10 juta untuk rider penghantaran, bagi pembelian motosikal baharu.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, beliau menyokong supaya diwujudkan sekretariat penyelarasan p-hailing dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu berbangkit dihadapi pekerja penghantar makanan.

“Diharapkan agar usaha proaktif kerajaan ini akan dapat membantu perkembangan industri GiG di Malaysia dan memastikan persekitaran industri ini dapat dikawal selia untuk menjaga keseluruhan rantaian ekosistemnya.

“Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di atas komitmen yang diberikan demi membantu komuniti GiG negara ini,” katanya. – UTUSAN

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.