Menteri, Timbalan Menteri GPS Akan Bantu Calon Kerajaan Perpaduan Dalam PRN

KUCHING, 16 Julai – Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberi sokongan penuh bagi membantu calon daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan yang bertanding semasa pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan itu dipersetujui susulan mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu di sini malam tadi.

Beliau berkata GPS akan menekankan kepentingan perpaduan dan kerajaan yang stabil sebagai mesej utama dalam kempennya.

“Kami adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan oleh itu, mempunyai kewajipan untuk menyokong mereka. Semasa hari penamaan calon, kami akan hantar wakil ke sana,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Ketika ini, terdapat lima Menteri dan enam Timbalan Menteri daripada GPS di peringkat Persekutuan.

Sementara itu, mengulas memorandum persefahaman yang dimeterai antara Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) baru-baru ini, Abang Johari berkata GPS tidak mempunyai sebarang masalah dengannya.

“Kami rasa jika berniat baik, biarlah mereka menjalin kerjasama itu tetapi saya ingin tegaskan bahawa PSB masih bukan ahli GPS,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.