PRN: Trek Rekod UMNO/BN Tadbir Terengganu Mampu Yakinkan Semula Rakyat

KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera percaya bahawa trek rekod UMNO/Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu sebelum tahun 2018 dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti.

Jelasnya, mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos kelak, segala persiapan terutamanya jentera telah dilakukan bermula Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Kita dah ready sejak PRU lepas dan perkara ini akan disambung dan diperkemaskan. Kita gandakan lagi usaha kita. Insya-Allah kami telah bersedia.

“Kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) juga nampak positif terutamanya dalam soal pembahagian kerusi. Kita dah selesai lebih awal dan lebih mudah berbanding dengan Muafakat Nasional (MN) dahulu.

“Jadi, kita di peringkat Pergerakan Pemuda ada persefahaman politik yang kita dah gerakkan dan alhamdulilah nampaknya soal hubungan untuk bekerjasama itu lebih teratur kalau nak dibandingkan kita dengan blok-blok lain dahulu,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, BN-PH mempunyai peluang dan ruang yang besar untuk menawan semula negeri itu berdasarkan kepada isu-isu semasa terutamanya pembatalan kemenangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu disebabkan rasuah.

“Berdasarkan kepada isu-isu sekarang terutamanya apabila Pas telah disabitkan kesalahan dengan rasuah pada PRU lepas, kita nampak bahawa sebenarnya ada ruang yang besar untuk BN-PH menawan semula Terengganu.

“Saya lihat secara objektifnya melalui perkara-perkara asas dalam menguruskan rakyat. Apabila sesebuah parti itu telah mencemarkan diri mereka dengan mengabaikan prinsip dan juga tatakelola, maka rakyat akan berfikir banyak kali untuk memberi undi.

“Jadi, dalam soal ini Terengganu tidak mempunyai pilihan lain kecuali kembali semula kepada BN dan juga PH,” katanya lagi.

Kata Tengku Haphiz lagi, BN-PH telah memberikan pelbagai tawaran yang lebih baik daripada Pas berdasarkan trek rekod mentadbir negeri itu sebelum ini.

“Dalam masa yang sama, kita juga ada buat pelbagai tawaran yang lebih baik daripada mereka (Pas) dan sudah tentu ianya boleh dicapai berbanding Pas. Rekod kita menguruskan negeri sebelum 2018 lebih meyakinkan.

“Kita harap rakyat dapat celik mata. Sebenarnya tawaran yang mereka berikan kepada rakyat untuk mentadbir negeri ini banyak berpura-pura. Mereka tidak yakin dengan kredibiliti mereka sendiri. Sebab itu mereka membeli undi,” katanya lagi.

Beliau turut berkata bahawa salah laku Pas dalam membeli undi menyebabkan para pengundi khususnya anak muda keliru dengan peraturan pilihan raya yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Apabila berlaku pembelian undi ini, pengundi muda salah faham. Mereka rasa dengan mengundi ini, mereka akan dapat duit. Sedangkan dalam peraturan pilihan raya, perkara itu tidak dibolehkan. Saya rasa majoriti pengundi muda ini belum tentu dapat menghadam habis segala peraturan pilihan raya.

“Apabila perkara ini telah dibuktikan bersalah barulah mereka tahu ianya tidak dibenarkan. Pilihan raya ini mestilah dijalankan dengan telus dan digerakkan dengan tawaran-tawaran yang boleh dilaksanakan. Bukan dengan sogokan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.

Sementara itu, hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos, sebagaimana dimaklumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya minggu lalu.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.