PRN Selangor: Proses Pembahagian Kerusi BN-PH Lancar, Elak Boikot Calon Kerajaan Perpaduan – Lokman

SUNGAI BESAR, 19 Jun – Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam memaklumkan bahawa proses rundingan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor berjalan dengan lancar.

Jelasnya, tindakan memboikot calon-calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada PRN Selangor tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menyebabkan Perikatan Nasional (PN) mendapat keuntungan daripada perkara tersebut.

“Pilihan raya kali ini sebahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) akan lawan. Ada daripada PAN, Dap dan PKR tetapi lambang yang mereka pakai hanya satu iaitu lambang PH. Daripada UMNO mungkin MCA dan MIC akan bertanding juga tetapi kita hanya akan guna satu lambang iaitu Barisan Nasional (BN).

“Tetapi kalau tempat tuan-tuan BN bertanding tuan-tuan keluar, tempat PH bertanding tuan-tuan tak keluar, apabila BN boikot PH, PH boikot BN akhir sekali dua-dua ‘bungkus’ dan yang untung siapa? PN juga.

“Saya nak beritahu alhamdulilah setakat ini kita dah berunding dengan amat cantik dengan kawan-kawan PH. Kalau nak diikutkan, paling banyak yang kita boleh bertanding di Selangor ini lima kerusi sahaja,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau turut yakin dan percaya bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari cukup bertimbang rasa dan akan memberikan jumlah kerusi yang menampakkan kehadiran UMNO/BN.

“Tapi percaya cakap saya, kita ada Menteri Besar yang cukup bertimbang rasa dan memahami. Kita pun tidak mahu lihat UMNO ini dilihat ‘dibuli’ di sini. Kita pun tidak mahu tengok Dap dan PAN dibuli di Terengganu, Kelantan kerana di sana sudah pastilah kubu kuat kita.

“Insya-Allah tuan-tuan, percayalah cakap saya kalau dengan cakap pengikut-pengikut yang dahulu bersama kita dan sekarang telah bersama PN, mereka menggambarkan di Selangor ini akan ada lima kerusi yang akan kita tandingi. Itu tidak betul sama sekali tuan-tuan.

“Sehingga hari ini jumlah kerusi yang telah dipersetujui lebih daripada lima, saya boleh jamin. Tapi percayalah tuan-tuan, rakan kita PH akan pastikan UMNO juga akan bertanding dijumlah kerusi yang boleh menggambarkan kehadiran kita,” katanya lagi.

Menurutnya, UMNO mempunyai peluang untuk bangkit semula selepas melalui pelbagai fasa jatuh bangun termasuklah kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Peluang UMNO untuk bangkit kembali ada. Bukan kita tak kuat tetapi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kita disabotaj oleh kawan-kawan kita sendiri. Disebabkan sabotaj ini, kita sebuah parti yang mempunyai sokongan terbesar orang Melayu, akhirnya kita hanya memperoleh 26 kerusi.

“Kalau tuan-tuan nak lihat kita bangkit semula, kita kena beri sokongan padu kepada Kerajaan Perpaduan kerana sokongan kepada rakan kita PH dalam pilihan raya akan membolehkan rakan-rakan PH boleh menang di mana sahaja,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.