Penyelewengan Maksud Hadis Jamaah Muslimin Oleh Pas

PERLEMBAGAAN UMNO telah dipinda pada tahun 2019 meletakkan perjuangan mendukung cita-cita agama Islam sebagai keutamaan. Perjuangan menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam adalah perjuangan yang telah termaktub dalam perlembagaan UMNO.

Jangan hanya mendakwa Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam lalu menafikan perjuangan Islam parti lain. Apabila masuk Pas semua dosa disucikan termasuk ‘dosa Memali’ dan diangkat setinggi-tingginya.

Mereka yang meninggalkan Pas pula dianggap seolah keluar daripada perjuangan Islam lalu dimaki dan dikutuk.

Sejak bila pula perjuangan Islam hanya milik Pas? Dan sejak bila pula Islam menghalalkan makian dan kutukan pada orang yang berbeza pandangan dan parti. Dan adakah itu ciri-ciri pejuang Islam yang makian menjadi manisan lidah meski di waktu lain lidah basah dengan zikir?

Orang yang meninggalkan Pas dihukum keluar daripada ‘Jamaah Islam’ sedang hakikat sebenar ialah Pas bukannya ‘Jamaah Islam’ sebagaimana disebut dalam Hadis Sahih Bukhari Muslim riwayat Huzaifah bin Yaman tetapi hanya satu jamaah dan kumpulan kecil dari Jamaah Umat Islam yang besar diketuai oleh seorang Ketua Negara umat Islam.

Keluar daripada Pas bererti keluar dari satu ‘jamaah kecil’ umat Islam untuk bergabung dengan Jamaah Muslimin yang besar diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong dalam konteks Malaysia.

Itulah tafsiran yang benar bagi maksud hadis “kamu perlu berpegang dengan Jamaah Muslim dan Imam mereka”. Namun, kerana salah faham tafsiran yang dibuat oleh pimpinan Pas sejak berzaman melahirkan ketaksuban pada parti dan ‘jamaah kecil’ Pas.

Dalam sejarah Pas, pengasas Pas, Ustaz Fuad Hasan, Presiden Pas, Datuk Asri Muda, panglima jihad Pas dan bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz Hasan Adli dan pengasas Pas Kelantan, Ustaz Amaludin Darus meninggalkan Pas. Mereka semua dituduh keluar daripada ‘jamaah Islam’?

Salah faham terhadap konsep ‘jamaah Islam’ di kalangan ahli Pas mesti dibetulkan kerana ia adalah penyelewengan terhadap maksud Hadis Sahih. Penyelewengan ini memberi kesan besar kepada sikap taksub berparti sehingga memutuskan persaudaraan Islam dan memecahkan umat Islam.

Ahli Pas ditarbiyah untuk menerima hanya Pas adalah Jamaah Islam dan satu-satunya jamaah Islam di Malaysia lalu memandang serong pada semua orang Islam di luar Pas sedangkan kefahaman salah inilah menjadi sebab berpecah Jamaah Muslimin di Malaysia.

Umat Islam yang sepatutnya berpadu dalam jamaah muslimin yang besar dipecahkan untuk berada dalam jamaah islam yang kecil bermula dengan penyelewengan maksud Hadis Sahih.

Penyelewengan kefahaman inilah yang melahirkan budaya kafir mengkafir di Terengganu. Ia punca ahli Pas tidak solat di masjid kerajaan lalu membina masjid sendiri dan hanya solat Jumaat di masjid Pas sahaja. Inilah punca solat dua imam, akad nikah yang diwalikan oleh ahli UMNO tidak sah malah sembelihan orang UMNO tidak sah.

Pas telah undur jauh ke belakang di saat gerakan Islam yang lain seluruh dunia menerima kepelbagaian jamaah-jamaah kecil dan kepelbagaian parti politik yang memperjuangkan Islam sebagai cara hidup.

Keluar dan masuk parti lain serta menubuhkan parti baru adalah fenomena gerakan dakwah di negara-negara Islam lain tetapi ia tidak diiktiraf oleh Pas kerana dakwaan mereka hanya Pas yang memperjuangkan Islam di Malaysia!

Besarnya kesan pada umat bermula dengan penyelewengan terhadap maksud Hadis Nabi (saw). Saya tidak salahkan ahli Pas yang tidak mendalami Islam dan tidak mampu merujuk kepada syarah-syarah Hadis tetapi saya menyalah alim ulama Pas yang menyelewengkan maksud sebenar Hadis tidak seperti yang dihurai oleh alim ulama Islam seperti Imam Nawawi dalam Syarah Minhaj. – UMNO ONLINE

Dr Khairuddin Takiri
11.6.2023

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.