Umat Islam Harus Tumpah Taat Setia Kepada Agong Dalam Pertahan Keharmonian, Kestabilan Negara

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Seluruh rakyat bertanggungjawab menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta bersama-sama kepimpinan negara dalam memelihara dan mempertahankan keharmonian dan kestabilan negara.

Menerusi khutbah khas bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin ini, yang bertajuk “Dirgahayu Tuanku: Di Bawah Naungan Ilahi” mimbar menjelaskan mentaati pemerintah merupakan satu dari tuntutan agama seperti yang termaktub dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

“Rakyat perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjaga dan mempertahankan kestabilan negara. Justeru, inilah tanggungjawab dan kewajipan yang saling melengkapi antara satu sama lain dan membuahkan natijah yang menyeluruh kepada semua.

“Titah pesanan yang telah disampaikan oleh baginda Tuanku harus menjadi pegangan yang sentiasa tersemat dalam sanubari kita supaya kita rasa bertanggungjawab menjadi warganegara yang baik dan bekerjasama memakmurkan negara tercinta ini,” menurut khutbah tersebut.

Teks khutbah khas berkenaan disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Khutbah turut menyentuh mengenai pemerintahan Seri Paduka yang rakyat telah menyaksikan dan menikmati bermacam bentuk kebijaksanaan dan keadilan baginda yang mengurus tadbir dan menyelesaikan banyak isu dan konflik yang timbul.

“Baginda telah bertindak sebagai perekat sosial yang mencantumkan semangat keakraban dan kesepaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini. Baginda sangat menekankan semangat muhibah dan semangat saling menghormati antara kaum yang menjadi asas kepada kestabilan negara,” menurut khutbah itu.

Khutbah juga menekankan bahawa peranan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu sangat penting dalam memastikan Islam tetap diletakkan pada kedudukannya yang tertinggi dalam pemerintahan negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Menerusi sistem Raja Berperlembagaan, Raja diletakkan pada kedudukan paling tinggi dan memiliki fungsi bukan sahaja melindungi agama, tetapi menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan seluruh masyarakat.

“Kuasanya melangkaui kepentingan politik, yang keputusan atau titah perintahnya berasaskan kepada kepentingan negara, kesejahteraan rakyat, pelindung perlembagaan dan sebagainya,” menurut khutbah itu.

Khutbah turut menyatakan bahawa apa sahaja perkara yang berlaku sepanjang pemerintahan Seri Paduka merupakan catatan sejarah yang tidak dapat dipadam dan dinafikan termasuk ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan besar kepada struktur kesihatan awam, ekonomi, pendidikan dan pentadbiran selain perubahan landskap politik yang drastik.

“Namun, atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda serta berkat hidayah dan rahmat Allah SWT membolehkan kita semua bangkit dan mempertahankan kestabilan dan kesejahteraan negara tercinta ini,” menurut khutbah itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.