PAU 2023 Saksikan Penambahan Perwakilan, Terus Bawa Agenda Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang akan bermula pada 7 Jun nanti menyaksikan pertambahan perwakilan apabila Ketua-ketua Penerangan UMNO bahagian serta sayap termasuklah Ketua Penerangan Wanita akan hadir ke perhimpunan agung parti tersebut.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata seramai 6,351 perwakilan akan terlibat bagi menjayakan perhimpunan agung parti tahun ini dan seperti biasa ianya bermula dengan acara perasmian sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Rabu, 7 Jun, 9.00 malam.

“Namun sebelum itu, pada pukul 10 pagi hari yang sama akan ada sesi penerangan khas bersama seluruh penerangan UMNO Malaysia yang akan dihoskan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said. Pada sebelah petang pula, Taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diadakan secara tertutup membabitkan semua perwakilan.

“Perhimpunan Wanita dan Pemuda serta Puteri akan berlangsung serentak pada Khamis bermula pukul 8 pagi. Untuk Wanita UMNO, perhimpunan akan diadakan di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Razak manakala Puteri di Dewan Tun Hussein.

“Pada sebelah malamnya pula akan diadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) khas dan keesokannya perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang bermula dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena PAU 2023, di sini hari ini. Turut serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Setiausaha Wanita dan Pemuda serta Puteri UMNO.

Asyraf seterusnya menambah pada tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan akan turut menghadiri PAU 2023.

Dalam perkembangan sama beliau turut memberitahu karnival jualan akan turut diadakan sempena PAU 2023.

“Kita juga menyediakan ruang niaga di aras dua dan oleh itu kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk turut sama memeriahkan PAU 2023 kali ini.

“Seperti biasa juga, kita turut menyediakan laman media untuk pengamal-pengamal media yang membuat liputan sepanjang PAU 2023 berlangsung,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asyraf turut menyatakan sepertimana kebiasaan perbahasan akan turut menyentuh soal-soal yang melibatkan kepentingan dan agenda rakyat. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit