Iskandar Investment Catat Nilai Pelaburan US$6.8 Bilion Sejak 2006 – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 1 Jun – Iskandar Investment Bhd (IIB) mencatatkan nilai pelaburan berjumlah US$6.8 bilion sejak penubuhannya pada 2006 sehingga tahun lepas, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, malahan sepanjang tempoh tersebut IIB, yang merupakan syarikat pegangan pelaburan untuk memangkinkan pembangunan strategik Iskandar Malaysia, telah berjaya mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan.

“Kerajaan negeri amat teruja dengan pencapaian tersebut. Saya yakin IIB mampu mencapai visinya iaitu membina bandar metropolis yang inklusif dan mampan pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri Sesi Taklimat yang disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB Datuk Idzham Hashim di Ibu Pejabat IIB di Medini 9, Iskandar Puteri, selain dibentangkan mengenai #IIBForward27 dan perancangan jitu daripada pihak pengurusan.

“Saya teruja dengan semangat pihak pengurusan IIB. Semoga segala strategi yang dirancang mampu membuahkan hasil, seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada kawasan Iskandar Puteri, demi memastikan negeri Johor sebuah negeri maju menjelang 2030,” tambah Onn Hafiz.

IIB yang ditubuhkan pada November 2006, berperanan memastikan Iskandar Malaysia meneruskan trajektori yang berjaya dengan menjadi destinasi pelaburan menarik dan wilayah dinamik selain boleh didiami melalui projek pemangkin serta berimpak tinggi.

Sementara itu, IIB dalam satu kenyataan berasingan berkata pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) bagi menambah baik akses pembiayaan untuk syarikat teknologi dan syarikat pemula niaga di Johor sehingga RM650 juta.

Menurut Idzham pada masa sama, kedua-dua organisasi itu berharap dapat menarik dan mengekalkan tenaga kerja teknologi, selain meningkatkan pembangunan ekonomi.

Beliau berkata dengan memanfaatkan kepakaran MDV, ekosistem inovasi yang bertenaga akan dapat dipupuk sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat baharu di Johor, khususnya di Medini, Iskandar Puteri.

“Kerjasama ini membuktikan komitmen kita untuk memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan kedudukan Medini sebagai hab digital serta inovasi Johor,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Memorandum persefahaman (MoU) antara IIB dan MDV ditandatangani pada Rabu oleh Idzham dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV Nizam Mohamed Nadzri, dan disaksikan oleh Setiausaha Bahagian Pembiayaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Imran Abdullah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.