Kemas Sasar Lahirkan 100,000 Hufaz Cilik Menjelang 2026

PUTRAJAYA, 31 Mei – Seramai 100,000 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) disasarkan untuk dilahirkan sebagai ‘Huffaz Cilik’ menjelang 2026, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata sasaran berkenaan dibuat selaras pelaksanaan program Tabika Pra Tahfiz Kemas bermula Julai ini dengan kerjasama Yayasan Pahang sebagai rakan strategik yang membantu dalam aspek tadbir urus.

Beliau berkata program Tabika Pra Tahfiz Kemas itu mengabungkan elemen 7M iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi.

“Program ini dibuat secara berfasa, projek perintis dilaksanakan di 100 Tabika dahulu dan akhirnya semua tabika di bawah Kemas ada program tahfiz ini.

“Kita sedang laksanakan latihan kepada pelatih, petugas harus diberikan kursus terlebih dahulu mengenai program ini,” katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus program Tabika Pra Tahfiz Kemas bersama masyarakat tahun 2023 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata program tahfiz itu diperkenal sebagai nilai tambah bagi modul program penghayatan pendidikan Islam (PPI) yang memberi penekanan dan tumpuan khusus terhadap dua aspek iaitu pembelajaran ibadah dan pengajian Al Quran.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhasrat melaksanakan penstrukturan gaji buat tenaga pengajar tabika di bawah Kemas berdasarkan kelayakan dimiliki mereka.

Beliau berkata perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut.

“Sekarang skim perkhidmatan yang ada ialah jawatan kontrak dan terdapat antara pendidik masyarakat di tabika mempunyai sijil, diploma, ijazah dan ada juga sarjana.

“Oleh kerana skim ini tidak berasaskan kelulusan, maka kami tertakluk kepada skim itu… tidak adillah yang ada kelulusan dan pengalaman tidak diberikan pengiktirafan oleh kerajaan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.