Perhalusi Dengan Cermat Dan Sebaiknya Kesan Tarik Rayuan Berhubung Kalimah Allah – Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU, 24 Mei – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah agar Kerajaan Persekutuan memperhalusi dengan cermat dan sebaiknya kesan-kesan keputusan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah baru-baru ini.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah ini kerana ia berkait rapat dengan isu dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam Malaysia.

“Peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan tentang kalimah Allah mesti diperinci tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk kita akan terus terpelihara.

“Saya tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di negeri Johor selari dengan kedudukan Islam di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah di Johor, fatwa yang diwarta pada 4 Jun 2009 secara jelas menyatakan bahawa “Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan serta ditegah dan dilarang.”

Selain itu, baginda berkata Johor mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam serta tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan seperti dalam seni kata ‘Lagu Bangsa Johor.’ – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.