Malaysia Perkukuh Ekosistem Semikonduktor, Sasar 15 Peratus Bahagian Pasaran Pada 2030

GEORGE TOWN, 23 Mei – Kerajaan bercadang untuk mengukuhkan lagi ekosistem semikonduktor di Malaysia dan berharap mencapai 15 peratus bahagian pasaran bagi aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan menjelang 2030 berbanding 13 peratus pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata antara kaedah mampan bagi mencapai matlamat berkenaan adalah memberi penekanan kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam kalangan generasi muda.

“Sebagai pengerusi Majlis TVET (pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional) negara, saya juga telah menandatangani pelbagai memorandum persefahaman dengan pemain industri supaya sukatan pelajaran dan modul pembelajaran di institusi TVET dapat dikemas kini mengikut keperluan industri,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan SEMICON Asia Tenggara 2023 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata Malaysia muncul antara 10 hab global terbaik bagi semikonduktor dan elektronik yang menyaksikan negara ini sebagai pengeksport ketujuh terbesar dunia bagi semikonduktor, dengan bahagian pasaran sebanyak tujuh peratus.

Menurut Ahmad Zahid, daya tarikan Malaysia sebagai pusat pelaburan global telah menarik banyak syarikat berteknologi tinggi dari seluruh dunia untuk mewujudkan operasi di negara ini.

“Kerajaan komited untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri untuk memperincikan keseluruhan rantaian bekalan dan membangunkan campur tangan bersasar yang menyokong industri dan memacu pertumbuhan.

“Dengan mengadakan kerjasama, negara dapat mencapai matlamat bersama dan memastikan kejayaan jangka panjang industri dan negara. Ini diharap dapat memacu Malaysia untuk berpotensi muncul sebagai hab digital pilihan di Asia Tenggara satu hari nanti,” katanya.

Acara tiga hari yang bermula semalam dengan tema “Mendorong Ketangkasan dan Daya Tahan Rantaian Bekalan Elektronik” akan memberi penekanan kepada bidang kritikal pertumbuhan industri semikonduktor termasuk kemampanan, pembuatan pintar, mobiliti pintar, teknologi perubatan pintar dan pembangunan tenaga kerja.

Acara itu dianjurkan oleh persatuan industri global, SEMI dengan rakan strategiknya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestPenang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA (Pembangunan Pelaburan) Lim Bee Vian berkata industri elektrik dan elektronik (E&E) bersedia untuk meneruskan trajektori pertumbuhannya pada 2023, dipacu oleh permintaan global yang meningkat terhadap peralatan cip dan semikonduktor, apabila pada 2022 industri itu menarik jumlah pelaburan sebanyak RM29.3 bilion daripada 106 projek, dengan 95.2 peratus adalah daripada sumber asing.

“Pelaburan ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah turut mencipta peluang pekerjaan termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Menerusi ekosistem industri E&E yang teguh, Malaysia telah menjadi magnet bagi syarikat elektronik terbesar dan paling inovatif dunia termasuk gergasi industri seperti Intel, ST Microelectronics, Infineon, Micron, Texas Instruments, TF AMD dan Osram,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.