Dewan Rakyat Rakam Takziah Kepada Keluarga Ismail Kassim

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Arau Datuk Ismail Kassim yang meninggal dunia semalam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul menzahirkan ucapan itu sebelum sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pagi ini.

“Dengan perasaan yang amat dukacita dan sedih, saya ingin umumkan kepada Ahli Yang Berhormat bahawa Datuk Ismail Kassim iaitu mantan Ahli Parlimen Arau telah kembali ke rahmatullah, semalam.

“Saya bagi pihak Dewan dan Parlimen ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Saya harapkan seluruh ahli keluarga Allahyarham terus tabah dalam menghadapi situasi ini,” katanya.

Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman.

Ismail pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Arau dari 2008 hingga 2013 dan menjadi Senator pada 1999 hingga 2005.

Adik bongsu kepada Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim itu meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Selayang pada 2.45 petang, semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.