Tiada Keperluan Pinda Pelan Perak Sejahtera 2030

IPOH, 22 Mei – Kerajaan negeri tidak perlu membuat pindaan kepada Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 15 Jun 2022 lepas kerana terdapat keserasian antara pelan itu dengan dasar Malaysia MADANI, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata intipati kedua-dua pelan mempunyai hubung kait, dan kejayaan pelaksanaan Perak Sejahtera 2030 akan turut menyumbang kepada pemerkasaan Malaysia MADANI di peringkat negeri.

“Sungguhpun begitu, Pelan Perak Sejahtera 2030 yang bersifat dinamik akan sentiasa ditambah baik bagi mengikut keperluan dan senario semasa, sekali gus menyokong segala usaha yang dirancang di peringkat Persekutuan.

“Kerajaan negeri juga mengalu-alukan cadangan supaya program Wacana Pelan Perak Sejahtera 2030 dapat diintegrasikan dengan program wacana Malaysia Madani untuk memberi kefahaman yang lebih jelas berkenaan kedua-duanya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN-Chenderoh) yang ingin tahu dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri, adakah terdapat pindaan yang dibuat terhadap Pelan Perak Sejahtera 2030 supaya selari dengan dasar Malayia MADANI yang diperkenalkan di peringkat pusat.

Saarani berkata lapan keperluan yang digariskan dalam Malaysia MADANI iaitu ekonomi, kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan, bandar dan luar bandar adalah saling melengkapi dengan lima keperluan di bawah Perak Sejahtera 2030.

Lima keperluan itu adalah keterjaminan makanan, pemilikan Rumah, peluang pekerjaan yang berkualiti, pembangunan modal insan dan belia, serta kesihatan dan kesejahteraan.

“Perak Sejahtera 2030 dirangka dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak dan memacu pembangunan sosioekonomi yang seimbang berpaksikan matlamat Perak Makmur, Rakyat Sejahtera.

“Ia merupakan penunjuk arah untuk jentera kerajaan bagi merealisasikan pelan pembangunan jangka panjang Negeri Perak menuju 2030 yang berlandaskan tiga asas utama iaitu dinamik, realistik dan boleh capai,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.