Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Manifestasi Kestabilan Yang Menjadi Harapan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 adalah manifestasi kestabilan yang diharapkan oleh rakyat dan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata konvensyen itu hasil kesepakatan parti-parti politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun usia pertadbiran kerajaan kini baru menjengah usia enam bulan, namun penubuhan Majlis Perundingan Pimpinan dan pembentukan beberapa jawatankuasa, menjadi medan untuk kepimpinan parti-parti berbincang dan menyatukan fikiran dalam soal kepentingan bersama.

“Sama-sama kita berdoa agar kesatuan antara kita dan kestabilan yang terbentuk hasil permuafakatan kita semua akan meneguhkan Kerajaan Perpaduan. Marilah kita bertekad untuk terus mempertahankan kerajaan ini kerana Kerajaan Perpaduan adalah wajah Malaysia yang sebenar.

“Malaysia yang meraikan kepelbagaian, Malaysia yang adil dan saksama tanpa mengira latar agama, bangsa mahupun wilayah, dan di atas kepelbagaian ini marilah kita bina sebuah kekuatan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan watan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan laporan Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada acara konvensyen itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.

Fadillah berkata konvensyen yang menghimpunkan pemimpin, perwakilan, delegasi serta penyokong parti mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila lebih 3,500 hadirian memenuhi pelbagai lokasi di WTC hari ini.

“Bagi Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan, saya dimaklumkan lebih 3,500 delegasi Wanita daripada kesemua parti hadir, manakala Konvensyen Pemuda Perpaduan pula mencecah seramai 2,000 hadirin.

“Bagi Konvensyen Nasional petang ini, pihak sekretariat merekodkan jumlah tag delegasi yang dikeluarkan melebihi 3,500 untuk kesemua parti-parti, namun demikian, kita juga menerima kehadiran para penyokong Kerajaan Perpaduan yang ingin bersama-sama menjadi sebahagian sejarah perhimpunan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata rentetan konvensyen itu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan terus merencana pelbagai program lain pada masa akan datang, termasuk turun ke peringkat akar umbi agar kemesraan yang terjalin akan tersimpul kukuh. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.