Kerajaan Komited Bangun Industri Automotif Sebagai Sektor Ekonomi Strategik – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Kerajaan komited membangunkan industri automotif sebagai sektor ekonomi strategik yang membuka pelbagai peluang kejuruteraan kejituan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata negara-negara pengeluar utama automotif menunjukkan bahawa impak penting daripada industri ini ialah penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja mahir serta mewujudkan pelbagai peluang perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Peluang muncul dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, sistem simpanan tenaga dan perkhidmatan sokongan bagi kenderaan elektrik (EV) seperti stesen pengecas, operasi dan penyenggaraan EV,” katanya.

Tengku Zafrul berkata MITI sedang meneliti dengan serius dasar yang akan menyokong sektor ini, untuk memastikan ekosistem EV lengkap dan disokong sepenuhnya, termasuk piawaian, pensijilan dan pengesahan yang berkaitan dengan sistem pengecasan, aktiviti pelupusan bateri, penukaran bateri dan pengecasan tanpa wayar.

Beliau berkata demikian dalam ucap tamanya pada majlis permeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara EVE Energy Malaysia Sdn Bhd (EVE) dan Pemaju Kelang Lama Sdn Bhd, di sini, hari ini.

EVE yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pengeluaran bateri litium dari China EVE Energy Co Ltd menerusi anak syarikatnya EVE Asia Co Ltd memeterai MoU itu dengan Pemaju Kelang Lama untuk membina kilang pembuatan bateri litium-ion silinder EVE bernilai US$422.3 juta (US$1= RM4.4735) di Kulim, Kedah.

Tengku Zafrul berkata pelaburan besar itu dijangka menjana kira-kira 600 peluang pekerjaan baharu berkualiti tinggi dan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Dengan penubuhan kilang pembuatan ke-53 EVE itu, kita bersedia untuk mengukuhkan ekosistem mampan kita dan mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih cerah dan makmur,” katanya.

Tengku Zafrul percaya kilang itu akan dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan taman industri bateri silinder antarabangsa di negara ini, meningkatkan ekosistem mampan Malaysia dan memacu kemajuan teknologi.

“Keputusan EVE untuk melabur di Malaysia mencerminkan keyakinannya terhadap tenaga kerja mahir dan kepakaran teknologi negara, meletakkan kita sebagai destinasi menarik untuk pelabur global,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, industri bateri adalah komponen yang amat diperlukan dalam peralihan ke arah masa depan yang mampan dengan pengangkutan menggunakan elektrik dan mengimbangi grid kuasa.

“Saya amat yakin Malaysia mempunyai potensi untuk muncul sebagai kuasa perintis dalam pasaran EV di rantau ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.