Pahang Giat Laksana Projek Tebatan Banjir, Babit Peruntukan RM501 Juta

KUANTAN, 9 Mei – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sedang dilaksanakan di beberapa daerah di negeri ini dengan peruntukan kira-kira RM501 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata bagi daerah Kuantan, ia melibatkan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan Pakej Satu iaitu menaik taraf Sungai Belat dan membina strukur pencegahan banjir.

Projek itu, katanya, kini 99.73 peratus siap.

Was Rosdy berkata ia juga melibatkan PLSB Sungai Kuantan Pakej Tiga iaitu membina ban pencegah banjir di Perkampungan Cenderawasih serta mempertingkat ban sedia ada di Perkampungan Sungai Isap, yang baru mencapai tiga peratus perkembangan.

Beliau berkata di Pekan, ia melibatkan RTB Pekan Fasa Dua iaitu pembinaan tambak (levee) Sungai Pahang dengan status kerja mencapai 69 peratus manakala perkembangan projek RTB Sungai Semantan Temerloh Fasa Satu dalam daerah Temerloh pula sebanyak lapan peratus.

Katanya, PLSB Sungai Jelai di Lipis Fasa Satu dan PLSB Sungai Kuantan Pakej Dua pula kini dalam proses reka bentuk melibatkan kos RM168.7 juta, iaitu bagi membina ban pencegahan banjir di Sungai Pandan dan Sungai Kuantan di Bukit Rangin di sini.

“Selain itu, RTB Tanjung Gahai, Lipis iaitu membina ban tebatan banjir, dalam proses untuk melantik kontraktor,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan V Arumugam (BN-Sabai) yang ingin tahu perkembangan projek tebatan banjir di Pahang khususnya di Bentong.

Bagi daerah Bentong, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran telah membuat permohonan cadangan RTB secara di luar bajet kepada kerajaan Persekutuan dengan anggaran kos sebanyak RM410 juta tahun lepas dan hingga kini cadangan projek itu masih dalam tindakan.

Ketika menjawab soalan tambahan Arumugam yang ingin tahu apakah projek jangka panjang kerajaan negeri untuk mengatasi banjir, Wan Rosdy memaklumkan pihaknya sentiasa memohon peruntukan bagi menjalankan tindakan sewajarnya.

“Kerajaan negeri mengakui bahawa Pahang sentiasa dilanda banjir dan ini suatu yang kita tak dapat elak, sebagai kerajaan negeri yang prihatin kita telah mohon beberapa peruntukan dan ia merupakan tugas dan tanggungjawab kami,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.