Hampir 2,000 Jemaah Haji Pahang Terima ‘Duit Poket’ RM500 Seorang – MB

KUANTAN, 7 Mei – Hampir 2,000 jemaah haji Pahang menerima ‘duit poket’ sebanyak RM500 seorang sebagai bantuan untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata sumbangan julung kali diberikan itu berikutan prestasi kewangan kerajaan negeri yang baik dan kukuh sekali gus membolehkan hasil berkenaan dikembalikan semula kepada rakyat.

“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban bakal jemaah dan Insya-Allah kita akan teruskan di masa hadapan bergantung kepada tahap kedudukan kewangan kerajaan negeri.

“Lazimnya, apa yang kita buat selalunya diteruskan tak pernah dihentikan… kalau kedudukan kewangan bertambah baik kali ini RM500, tahun depan mungkin tambah lagi (jumlah bantuan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Bantuan Haji Negeri Pahang, di sini hari ini.

Selain bantuan wang tunai itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri turut membekalkan juadah makmur iaitu makanan sedia dimakan kepada jemaah haji.

Sementara itu, guru, Azlina Adam, 53, yang akan menunaikan haji bersama suami Ahmad Omar, 54, dan dua anak mereka Nur Amira Faeezah, 16, serta Muhammad Amar Faeez, 21, bersyukur kerana terpilih untuk mengerjakan ibadah itu pada tahun ini selain menerima bantuan daripada kerajaan negeri.

Beliau yang menetap di Jengka, Maran berkata ia merupakan usaha yang baik oleh kerajaan negeri untuk membantu rakyat dan akan menggunakan wang itu sebaik mungkin untuk persiapan haji.

Warga emas, Parinah Dolah, 75, yang ditemani anak sulungnya Hamimah Roslan, 56, pula menganggap sumbangan itu sebagai rezeki yang tidak disangka dan akan menggunakan ia ketika melaksanakan ibadah haji kelak.

“Ini pertama kali saya akan mengerjakan haji, seronok sangat masa dapat panggilan telefon daripada Tabung Haji ketika bulan puasa… terima kasih juga kepada kerajaan negeri yang bagi bantuan ini, saya akan gunakan masa di tanah suci nanti,” katanya yang menetap di Muadzam Shah, Rompin. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.