PN Terdesak Mahu Tukar Kerajaan, Demi Selamatkan Kes Mahkamah – Isham

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil membidas Perikatan Nasional (PN) dengan menyifatkan gabungan itu sebagai terdesak untuk menjatuhkan kerajaan.

Katanya, tindakan dilakukan pembangkang itu semata-mata mahu menyelamatkan pemimpin mereka daripada pendakwaan di mahkamah.

“Saya tahu kamu terdesak mahu tukar kerajaan sebab kamu mahu lari dari pendakwaan mahkamah dan kamu ingin menyelamatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tengkok kamu sendiri dari didakwa dan dipenjara.

“Nasihat saya ialah hadap sahajalah pendakwaan dan proses mahkamah ini dan jawab di hadapan hakim. Pemimpin UMNO ramai yang sudah melalui proses ini sebelum ini, kamu tidak boleh terkecuali.

“Kamu perlu bertanggungjawab ke atas apa yang kamu buat semasa kamu berkuasa. Tiada siapa yang terkecuali dari proses pengadilan dan kebertanggungjawaban ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Isham dalam pada itu turut menyarankan Muhyiddin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta mana-mana ahli Parlimen seangkatan mereka untuk pergi berkumpul dan membawa akuan sumpah berkanun (SD) dan bawa ke Parlimen dan Istana.

“Buktikan yang kamu ada sokongan dan bukan sekadar kaki sembang. Saya tidak rasa kerajaan hari ini akan isytihar darurat seperti mana yang Muhyiddin buat dulu apabila dia hilang sokongan.

“Jika tidak saya gesa PN fokus sahaja untuk jadi pembangkang yang membina dan biar kerajaan hari ini buat kerja dan stabilkan ekonomi. Sebab setiap kali pertukaran kerajaan cara pintu belakang ia akan menggugat kestabilan politik dan merencat keadaan ekonomi… yang susah adalah rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.