Isu Air Kedah: Sanusi Patut Tunding Jari Kepada PPBM – Nuraini

ALOR SETAR, 6 Mei – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah, Nuraini Yusoff beranggapan bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor patut menunding jari kepada rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) iaitu PPBM kerana menyebabkan projek rakyat tergendala selama dua tahun dalam isu air di Kedah.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Nuraini ternyata kesal dengan sikap Muhammad Sanusi yang menunjukkan sikap sambil lewanya dan meremehkan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

“Kenyataan terbaharu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di dada akhbar dilihat menuding jari kepada pihak lain dan meremehkan masalah bekalan air bersih di Negeri Kedah menunjukkan sikap sambil lewanya terhadap kekecewaan rakyat yang telah lama terjejas, termasuk pada Aidilfitri lalu.

“Setelah bersabar selama puluhan tahun, Sanusi masih tidak segan meminta rakyat terjejas bersabar dan menunggu lima Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang dinaiktaraf siap sepenuhnya. Malah beliau tidak segan silu mempolitikkan isu ini dengan menyalahkan kerajaan terdahulu,” katanya.

Menurutnya, Sanusi ternyata tidak belajar daripada kesilapan lampau apabila masalah yang sama berulang kembali sehingga menjejaskan rakyat di negeri tersebut.

“Beliau sebagai Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah tiga tahun berturut-turut menghadapi masalah yang sama setiap kali musim perayaan, namun tidak juga belajar atau melaksana pelan kontingensi lebih efektif untuk mengatasi masalah rakyat yang terjejas.

“Sanusi telah mengumumkan pelan kontingensi sebulan lebih awal sebelum Aidilfitri tahun ini. Namun pelan beliau ternyata gagal apabila sebahagian rakyat di banyak kawasan mengeluh tidak mendapat bekalan air yang cukup dan menerima lelehan air paip sahaja akibat tekanan rendah,” katanya lagi.

Ujar Nuraini lagi, kegagalan Sanusi bahkan tidak berhenti di situ apabila beliau dengan berbangga memaklumkan keuntungan SADA dan hanya membisu mendengar keluhan rakyat mengenai isu ini.

“Sekiranya Sanusi terlalu berhajat menuding jari pada kerajaan terdahulu yang menangguhkan lima projek LRA, beliau sewajarnya mengarahkan jarinya kepada PPBM. Rakan sekutu PN-nya itulah yang mengendalakan projek-projek rakyat berkenaan selama hampir dua tahun.

“Malah beliau boleh juga menyalahkan kerajaan PAS Kedah terdahulu yang ‘berjoli sakan’ dengan membina Menara SADA dan alpa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penggantian paip lama dari Jabatan Bekalan Air (JBA), selain Pengerusi SADA sendiri yang merelakan syarikat itu membeli kenderaan mewah, Vellfire, sebelum ini.

“Lebih menjengkelkan, beliau tetap berbangga mengumumkan SADA mencatat keuntungan tahunan, namun beliau hanya membisu dan pekak mendengar keluhan rakyat yang terjejas akibat krisis bekalan air di negeri Jelapang Padi ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar Sanusi lebih memberi fokus kepada menyelesaikan masalah rakyat dan kurangkan berpolitik.

“Sesungguhnya populariti Sanusi tidak mampu menenggelamkan kegagalannya menguruskan masalah bekalan air yang dihadapi rakyat Kedah. Malah lori tangki yang tidak mencukupi dan beroperasi secara efisien itu membuktikan beliau kurang mampu mengurus negeri ini dengan baik.

“Sikap Sanusi yang meremehkan masalah keperluan asas hidup rakyat yang menghantui rakyat negeri Kedah ini amat dikesali. Kurangkanlah berpolitik, fokus kepada menyelesaikan masalah rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.