Johor, Kerajaan Persekutuan Komited Pastikan Kelancaran Operasi Keluar Masuk Sempadan Negara

JOHOR BAHRU, 5 Mei – Struktur pentadbiran di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam usaha memperbaiki tahap perkhidmatan di kedua-dua pintu keluar masuk laluan darat di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perbincangan bersama pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) antara lain turut membangkitkan isu penambahan mesin pengimbas sinar-x bagi penumpang bas dan sistem pengurusan yang lebih efisien selain penambahan bas penumpang serta penguatkuasaan laluan bas.

“Syukur Alhamdulillah. Saya menerima kunjungan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh. Saya berterima kasih atas komitmen beliau dan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk terus memperbaiki lagi tahap perkhidmatan di BSI dan KSAB.

“Kerajaan Negeri sentiasa bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kelancaran operasi keluar masuk sempadan negara.

“Ini demi menjamin kesejahteraan rakyat dan pengembara serta meningkatkan imej Johor dan Malaysia di mata dunia,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi facebooknya hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Ruslin Jusoh di pejabatnya di Kota Iskandar hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Johor Mohammad Fazli Salleh dan Pengarah Jabatan Imigresen negeri Baharuddin Tahir. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.