Ahmad Zahid Ucap Tahniah Dua Pelajar Tajaan Mara Catat Pencapaian Terbaik Peperiksaan ACCA

KUALA LUMPUR, 4 Mei — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar tajaan MARA, Julea Qiestyna Abu Zar dan Danish Zafran Bazam, kerana berjaya meraih pencapaian terbaik dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Julea Qiestyna yang merupakan pelajar ACCA FIA Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perak memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia bagi kertas peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1) pada sesi Mac lepas.

Sementara Danish Zafran yang merupakan penuntut UiTM Shah Alam memperoleh ‘Top ACCA Prize Winner’ selepas beliau mendapat tempat pertama di peringkat kebangsaan dan ketiga di dunia dalam kertas peperiksaan ‘Performance Management’ juga pada Mac lepas.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada dua pelajar tajaan MARA kerana berjaya dinobatkan sebagai ACCA World Prize Winners.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi buat semua pelajar tajaan MARA yang lain. All the best,” katanya menerusi catatan di Facebook semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.