Reezal Merican Dilantik Pengerusi MATRADE

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah dilantik sebagai pengerusi kesembilan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan kerajaan dan telah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2021-2022), Menteri Belia dan Sukan (2020-2021) dan Timbalan Menteri Luar (2015-2018). Selain itu, beliau ialah Pengerusi Amanah Raya Bhd dari 2013 hingga 2015.

“Saya berbesar hati diberikan peluang untuk berkhidmat sebagai pengerusi MATRADE. Menerusi peranan ini, ditambah pula dengan kepimpinan menteri Miti (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), kita berupaya mendorong prestasi perdagangan dan eksport Malaysia yang lebih baik untuk kekal cemerlang dan mencapai pertumbuhan lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MATRADE, berikutan pengalaman luas Reezal Merican dalam hal ehwal antarabangsa, diplomasi, pentadbiran kerajaan dan hubungan industri, beliau dalam kedudukan baik untuk membawa dan memimpin agenda promosi perdagangan nasional Malaysia dan memudahkan pelaburan berorientasikan eksport ke negara ini.

Pelantikan beliau sebagai pengerusi akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kepelbagaian eksport Malaysia di pasaran global baharu dan sedia ada, kata agensi berkenaan.

MATRADE adalah sebuah agensi di bawah Miti dan diberikan mandat untuk melaksanakan inisiatif promosi perdagangan untuk negara.

Ditubuhkan pada 1993 selepas enakmen Akta MATRADE 1992, agensi itu menjalankan dua aktiviti teras iaitu pembangunan pengeksport dan promosi eksport.

Pada masa ini, MATRADE mempunyai enam pejabat serantau di Malaysia dan 46 pejabat global yang sentiasa bersedia membantu syarikat Malaysia menerusi program pembinaan kapasiti pengeksport, penasihat perdagangan dan kemudahan kewangan, pemadanan perniagaan, perisikan pasaran dan akses pasaran, rundingan projek dan e-dagang. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.