Amerika Syarikat Rakam Penghargaan Kepada Malaysia Bantu Proses Evakuasi Dua Rakyat Mereka – Dr Zambry

PUTRAJAYA, 1 Mei – Amerika Syarikat telah merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas bantuan membawa keluar dua orang warganegaranya semasa proses evakuasi rakyat Malaysia dari Sudan.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata perkara itu telah disampaikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken menerusi satu panggilan telefon hari ini.

“Usaha yang dilakukan oleh pihak wakil Malaysia yang diketuai oleh Wisma Putra jelas membuktikan bahawa bantuan yang diberikan tanpa mengira warganegara sangat-sangat dihargai sehingga sanggup berhadapan dengan risiko yang tinggi,” kata Zambry dalam satu kenyataan.

Katanya, dalam perbualan telefon itu, beliau dan Bliken juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala seperti peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertukaran lawatan, ekonomi digital, dan perubahan iklim, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Kedua-dua pihak sepakat untuk terus melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan Perkongsian Komprehensif Malaysia-Amerika Syarikat.

“Semoga hubungan antara Malaysia-Amerika Syarikat dapat terus kekal dan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam konteks dua negara dalam pelbagai bidang,” katanya.

Pada Khamis, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dari Khartoum, dijadualkan pulang hari ini.

Kumpulan itu termasuk 22 rakyat negara asing iaitu 14 warga Singapura, enam warga Kemboja dan dua warga Amerika. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.