Rumah Terbuka Aidilfitri Johor Zahir Makna Perpaduan – Ahmad Maslan

PONTIAN, 28 April – Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pontian dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor ternyata dapat menzahirkan makna sebenar perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, rumah terbuka yang telah diadakan pada kali ini berlangsung dengan meriah dan jayanya.

“Alhamdulilah syukur majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Pontian bersama Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor amat berjaya pada hari ini yang diadakan di Pusat Khidmat Benut.

“Terima kasih kepada semua urusetia dan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin-pemimpin lain yang sudi hadir,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian itu turut menghargai kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dan kaum yang bersama-sama memeriahkan rumah terbuka tersebut.

“Datuk Seri Wee Ka Siong hadir bersama pemimpin-pemimpin MCA lain. Begitu juga exco kerajaan negeri, wakil dari PAN dan PKR juga ada jadi saya mengucapkan terima kasih di atas kehadiran mereka.

“Masyarakat Cina dan India juga ada sekaligus menunjukkan Kerajaan Perpaduan ini bermakna penuh dan kita amat menghargai kehadiran mereka ke rumah terbuka ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan selamat hari raya Aidilfitri dan menggalakkan rakyat agar menzahirkannya dengan amalan ziarah-menziarahi.

“Saya ingin merakamkan ucapan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia.

“Mudah-mudahan kemeriahan hari raya kali ini kita zahirkan dengan amalan ziarah-menziarahi dan mengeratkan hubungan silaturahim. Maaf zahir dan batin,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.