Kerajaan Negeri Komited Perkasakan Bidang TVET – Khaidhirah

JASIN, 25 April – Kerajaan negeri komited memperkasakan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam merealisasikan hasrat menjadikan Melaka hab menghasilkan tenaga kerja berdaya saing.

Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata perkembangan bidang berkenaan adalah antara industri pilihan di samping terdapat kerjasama dengan beberapa pihak yang turut diberikan peranan dalam menjayakannya.

“TVET kini tidak boleh dianggap sebagai pendidikan kelas kedua dan saya sangat menggalakkan anak-anak muda di luar sana diberi peluang dan jika ada dalam kalangan mereka yang akademiknya mungkin kurang, boleh memilih bidang TVET ini kerana kita tahu setiap orang mempunyai bakat tersendiri.

“Dalam perkembangan semasa saya yakin dan percaya TVET ini diberikan peranan antara paling utama daripada mana-mana kluster pendidikan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas program rumah terbuka Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rim di sini malam tadi.

Hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka itu Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Rauf Yusoh.

Khaidhirah berkata justeru adalah penting usaha memperkasa dan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran bidang itu dan berupaya mencipta kerja sendiri serta menjadi rebutan majikan.

“Saya percaya jika usaha ini diperkasakan kita mampu menjadi antara negeri utama yang mampu dalam menghasilkan tenaga kerja dalam bidang TVET ini,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.