Kelepasan Am Tambahan Bukan Keputusan Populis Dan Merugikan Sektor Swasta – Ahmad Maslan

KUCHING, 20 April – Langkah pemberian satu hari kelepasan am tambahan sempena Aidilfitri bukan keputusan populis dan kerajaan tidak berniat untuk merugikan sektor swasta, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata pengumuman cuti tambahan berkenaan bertujuan membantu dan mewujudkan suasana perayaan kepada rakyat menjelang sambutan Aidilfitri yang dinanti-nantikan.

“Saya tidak nampak keputusan ini mengganggu sektor swasta dan saya kira suasana perayaan ini dirasai oleh semua masyarakat.

“Jadi ia tidak menyusahkan dan merugikan (sektor swasta) dan ia sama seperti pemberian Tol RAHMAH percuma selama empat hari yang bertujuan membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama pelanggan dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. Datuk Ameer Ali Mydin dalam temu bual di rancangan televisyen tempatan berkata pengumuman cuti am itu menyebabkan syarikatnya menanggung kerugian RM500,000.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hari kelepasan am tambahan itu bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk sambutan hari raya dan pulang ke kampung halaman.

Pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Aidilfitri akan dibuat pada pukul 8 malam ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada kira-kira 8.7 juta penerima dengan 63,510 daripadanya merupakan penerima tunai di Sarawak.

Mengenai kawasan liputan ejen bank di negeri ini, Ahmad berkata 98 peratus mukim di Sarawak telah dilengkapi dengan ejen bank BSN kecuali mukim Nanga Merit yang terletak di Kapit.

“Minggu lepas ada pegawai BSN pergi meninjau untuk ejen bank diletakkan di sana. Tahun ini mudah-mudahan kesemua mukim di Sarawak yang melibatkan kawasan pedalaman akan mempunyai ejen bank BSN,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.