Penglibatan Pegawai, Anggota Tentera Di Turkiye Harumkan Nama Malaysia – Mohamad

KUALA LUMPUR, 19 April – Penglibatan 110 pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja dalam Misi Operasi Starlight II Hospital Medan Malaysia (HMM) di Celikhan, Adiyaman, Turkiye pada Februari lepas telah mengharumkan nama Malaysia di mata antarabangsa.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata khidmat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang enam minggu bertugas memberi bantuan perubatan kepada mangsa gempa bumi sentiasa menjadi sebutan kepimpinan Turkiye terutamanya Menteri Pertahanan negara itu Hulusi Akar.

“Beliau (Hulusi) beberapa kali menyebut betapa gembiranya mereka apabila kita datang membantu dan Malaysia merupakan antara negara pertama hantar bantuan operasi dan menyelamat serta membina hospital medan di sana. ATM telah menjalankan misi dengan begitu baik dan cemerlang,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penghargaan Tim Misi Operasi Starlight II di Wisma Perwira ATM di sini, malam tadi.

Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz serta Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yüksel.

HMM memulakan operasi pada 15 Feb lepas dengan menawarkan perkhidmatan perubatan bagi tahap tiga, termasuk prosedur pembedahan kepada masyarakat setempat serta Outreach Medical Programme dengan petugas berkunjung ke rumah mangsa untuk pemeriksaan perubatan.

Sepanjang operasi berkenaan 2,415 pesakit telah dirawat termasuk 83 kes pembedahan telah berjaya dilaksanakan.

Sementara itu, Kpt Nur Hidayah Amran, 31, yang merupakan antara Pegawai Perubatan yang menyertai misi itu berkata secara purata kira-kira 80 pesakit dirawat sehari di HMM.

“Pasukan petugas juga berdepan kesukaran cuaca terlampau sejuk sehingga -15 darjah Celsius selain kami juga berdepan beberapa gegaran susulan yang agak kuat sehingga kami terpaksa berhenti seketika untuk memberi rawatan kepada pesakit,” katanya.

Pakar bedah Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Dr A. Sivanathan, 39, berkata sepanjang di sana, beliau berjaya melaksanakan 40 pembedahan kecil.

“Ini misi pertama sebagai pakar bedah, banyak pengalaman yang dilalui termasuk tidur sebilik bersama bersama 25 anggota dan pegawai yang lain serta mengalami luka beku di hidung dan telinga akibat cuaca yang sejuk,” katanya.

Pada 6 Feb lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye dan barat laut Syria dan kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.